GEORGE TOWN: Polis menahan 66 individu termasuk 17 warga asing atas pelbagai kesalahan dadah dalam operasi khas pusat hiburan di daerah Timur Laut dan Seberang Perai Tengah (SPT) bermula semalam hingga awal hari ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin berkata operasi itu dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti dalam usaha membanteras kegiatan jenayah serta dadah di pusat hiburan.

"Operasi di tiga pusat hiburan itu memeriksa 124 pengunjung sebelum mendapati 66 orang yang terdiri daripada 40 lelaki dan 26 wanita positif pelbagai jenis dadah.

"Daripada 66 orang, seorang lelaki dan 16 wanita adalah warga asing dari pelbagai negara. Polis turut merampas dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) seberat 275 gram bernilai RM3,200," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemuanya disiasat mengikut Seksyen 39 (B) dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong dalam kenyataan berasingan berkata polis menahan dua lelaki kerana menggajikan pekerja warga asing tanpa permit yang sah dalam serbuan di pusat hiburan di sini awal pagi tadi.

Beliau berkata serbuan kira-kira pukul 1.30 pagi itu turut menahan dua lelaki dan lapan wanita warga asing kerana melanggar syarat pas lawatan dan tiada dokumen perjalanan yang sah.

Menurut Soffian, kesemua mereka dipercayai bekerja di pusat hiburan itu dan semasa serbuan ada dalam kalangan warga asing berkenaan cuba melarikan diri menggunakan laluan "tikus", namun tindakan pantas polis mengepung serta menjalankan pemeriksaan lanjut berjaya mengesan mereka.

"Polis juga menjalankan ujian saringan air kencing terhadap 49 individu berusia antara 20 hingga 51 tahun dengan 24 daripadanya iaitu lapan wanita dan 16 lelaki didapati positif pelbagai jenis dadah," katanya.

-- BERNAMA