KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan mengeluarkan sebanyak 68 notis tunjuk sebab kepada peniaga ayam yang didapati menaikkan harga melebihi harga pasaran.

Pengarah KPDNHEP Kelantan Adnan Abd Rahman berkata notis itu dikeluarkan sejak 14 April hingga 21 April kepada peniaga dan mereka perlu menjawab dalam tempoh antara tiga hingga tujuh hari.

"Kami memberi mereka (peniaga) masa seminggu bagi menjawab dan tunjuk sebab mengapa harga ayam yang dijual tidak sama dengan harga semasa pasaran.

"Sekiranya mereka gagal menjawab dan mengemukakan dokumen lengkap terhadap notis berkenaan, maka mereka akan dikompaun," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program tinjauan mesra Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2021 di Pasar raya Mydin Kubang Kerian, di sini pada Khamis. 

Mengulas lanjut, Adnan berkata seramai 141 penguat kuasa dan 92 pegawai pemantau harga akan turun padang di setiap lokasi yang dikenal pasti bagi memastikan pihak terbabit tidak mencatut untuk meraih keuntungan sesuka hati.

"Kami harap orang ramai boleh menyalurkan maklumat berhubung kenaikan harga barangan untuk tindakan lanjut. Usaha semua pihak perlu bagi memastikan harga barangan keperluan sentiasa terkawal," katanya.

-- BERNAMA