KUCHING: Sebanyak 7,410 port jalur lebar gentian optik berkelajuan tinggi di bawah projek Point of Presence (PoP) Kementerian Komunikasi telah dibangunkan dan sedia dilanggani oleh penduduk di Sarawak.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata untuk seluruh negeri itu, sebanyak 748 PoP telah dirancang menerusi dua fasa dengan fasa pertama sebanyak RM84 juta diperuntukan untuk syarikat TM Technology Services dan RM4.4 juta untuk syarikat VC Telecoms Sdn. Bhd bagi membangunkan 67 buah PoP.

"Menerusi PoP Fasa Satu, 60 PoP telah berjaya disiapkan sepenuhnya oleh Syarikat TM Technology Services dan mempunyai 2,862 langganan. Tujuh PoP disiapkan oleh Syarikat VC Telecoms Sdn. Bhd di kawasan-kawasan perindustrian di seluruh negeri Sarawak," katanya.

Berucap pada majlis sempena lawatan kerja ke tapak projek PoP Zon Sarawak di Santubong, dekat sini, hari ini, beliau berkata bagi PoP Fasa Dua pula, RM1.08 bilion diperuntukan untuk syarikat Borneo Restu Sdn Bhd yang melaksanakan projek ini bermula November 2022.

"Bagi PoP Fasa Dua Zon Sarawak pula, daripada 681 PoP, 10 peratus iaitu 69 PoP telah disiapkan dan baki 90 peratus dijangka akan disiapkan dalam masa dua tahun lagi iaitu sebelum Oktober 2025," katanya.

Teo berkata infrastruktur jalur lebar gentian optik berkelajuan tinggi dan stabil ini mampu menyediakan kebolehcapaian pendigitalan yang cekap selain memberi peluang kepada peningkatan ekonomi di luar bandar.

"Kelajuan perkhidmatan Internet yang disediakan akan menjadi penanda aras bagi penggunaan teknologi moden yang berkaitan dengan infrastruktur dan utiliti, contohnya Internet of Things (IoT), Artificial Intelligence (AI), Smart Grid, Smart Water, energy dan lain-lain yang dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat," katanya.

Katanya, PoP yang merupakan jalur lebar gentian optik berkelajuan tinggi sesuai untuk kegunaan premis kediaman, premis kerajaan serta komuniti yang berada di lingkungan radius 2.5km.

Bercakap kepada pemberita selepas lawatan itu, Teo berkata Malaysia menyasarkan 80 peratus capaian 5G di kawasan berpenduduk menerusi pembinaan sebanyak 7,509 menara telekomunikasi.

"Setakat November lalu, capaian 5G di seluruh Malaysia adalah 76.1 peratus, kalau tidak dapat dicapai 80 peratus Disember ini, selewat-lewatnya adalah menjelang Januari depan.

"Di Sarawak sebanyak 356 menara 5G yang telah siap. Ada lagi yang belum siap dan dengan kerjasama dan bantuan daripada kerajaan Sarawak baki yang belum siap itu boleh disiapkan secepat mungkin," katanya.

-- BERNAMA