JOHOR BAHRU: Sebanyak 7,473 notis dikeluarkan terhadap pelbagai kesalahan kegagalan mematuhi peraturan dan undang-undang keselamatan jalan raya dikeluarkan pada hari pertama Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2024 yang bermula semalam di seluruh negara.

Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Lokman Jamaan berkata 25 peratus daripada notis dikeluarkan itu membabitkan sembilan kesalahan utama iaitu tidak mematuhi had laju, langgar lampu merah, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan dan memotong barisan, menggunakan telefon bimbit, tidak memakai tali pinggang keledar atau topi keledar, memandu kenderaan berat di lorong laju dan lebih muatan.

Beliau berkata operasi khas itu memfokuskan kepada pengesanan pematuhan dan penilaian pematuhan syarat-syarat dan peraturan keselamatan, serta kenderaan dipandu dengan selamat berdasarkan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya.

"Operasi khas secara berfokus perayaan Aidilfitri dan cuti persekolahan selama 20 hari bermula semalam hingga 20 April ini, melibatkan 2,000 anggota.

"Justeru, bagi memastikan peningkatan pematuhan dan keperluan untuk memperbaiki tingkah laku pemandu, JPJ akan melaksanakan lima jenis Ops iaitu Ops Khas Kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA), Ops Khas Kenderaan Barangan (KPB), Ops Khas Motosikal, Ops Khas Sembilan Kesalahan Utama dan Ops Khas Teknikal," katanya kepada pemberita pada sidang media Ops Khas HRA 2024 di Kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Pandan di sini hari ini.

Lokman berkata JPJ turut melaksanakan pemeriksaan di 54 Depoh dan 28 Terminal Bas Utama bagi memastikan kelancaran dan kecekapan operasi perkhidmatan pengangkutan awam ke arah peningkatan keselamatan, kualiti dan kebolehharapan kepada pengguna.

Sementara itu, beliau berkata setakat hari ini, sebanyak 4,976 pemeriksaan telah dilakukan dan 1,010 notis pelbagai kesalahan lalu lintas termasuk tidak memiliki lesen memandu yang sah dikeluarkan di Johor.

"Kita dapati banyak juga kenderaan tidak diselengara dengan baik terutamanya kenderaan barangan yang tayar mereka tidak mengikut spesifikasi, tayar botak dan juga terdapat kesalahan melibatkan ubah suai kenderaan," katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai yang pulang beraya agar mempersiapkan diri dari segi kesihatan, sikap memandu, keadaan memastikan kenderaan dalam keadaan baik selain mematuhi peraturan trafik dan had laju.

-- BERNAMA