KOTA BHARU: Sebanyak tujuh bandar utama di Kelantan masih dalam proses penyediaan Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) sebagai persediaan menghadapi musim banjir.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri Datuk Izani Husin berkata tujuh bandar berkenaan ialah Pasir Puteh, Tumpat, Machang, Kuala Krai, Jeli, Gua Musang dan Bachok, manakala PISMA bagi Tanah Merah, Pasir Mas dan Kota Bharu telah siap.
Beliau berkata PISMA menjadi garis panduan dalam merancang dan melaksanakan sistem saliran secara sistematik, termasuk bagi pembangunan baharu serta mengenal pasti keperluan pembaikan sistem sedia ada bagi mengurangkan risiko banjir.
“Kerajaan negeri turut melaksanakan kerja penyelenggaraan dan pemuliharaan sungai, alur, sistem saliran, kolam takungan, pintu air dan rumah pam, terutama di kawasan yang dikenal pasti berisiko banjir,” katanya ketika menjawab soalan Azhar Salleh (Pas-Pulai Chondong) pada persidangan Dewan Undangan Negeri di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Izani berkata program berkenaan melibatkan kos keseluruhan RM92 juta, terdiri daripada RM50 juta peruntukan Kerajaan Persekutuan dan RM42 juta daripada kerajaan negeri, selain Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara yang melibatkan pemantauan tiga lembangan sungai utama, iaitu Sungai Kelantan, Sungai Golok dan Sungai Semerak.
“Sebanyak 70 stesen hujan, 37 stesen aras air dan 50 stesen siren telah diselenggara bagi memastikan pemantauan dan sistem amaran banjir dapat berfungsi dengan baik sepanjang Monsun Timur Laut,” katanya.
-- BERNAMA