PUTRAJAYA: Tujuh lagi kluster baharu direkodkan pada Isnin dengan lima daripadanya melibatkan tempat kerja, satu komuniti dan satu kumpulan berisiko tinggi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan memaklumkan, sebanyak 10 kluster juga disahkan tamat menjadikan kini terdapat 488 kluster masih aktif.

“Tujuh kluster baharu yang dikesan ialah Kluster Kampung Sungai Burung, Jalan Wawasan 12, Jalan Kempas Tiga di Johor dan Kluster Jalan Melati serta Desa Empat di Selangor, semuanya tempat kerja.

“Manakala, dua lagi kluster lain ialah Bukit Marak di Kelantan dan Jalan Cempedak di Kuala Lumpur,” katanya.

Tambah beliau, 10 kluster yang tamat ialah Kluster Pasir Barat, Sri Suria, Nilam Tiga, Persiaran Sabak, Tembok Kemus, Intan Delima, Pengerang Utara, Sungai Purun, Lapangan Siber dan Kluster Bedayan.

Berikut adalah perincian kluster baharu yang dikesan KKM:

1. KLUSTER DESA EMPAT

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Kuala Selangor di Selangor. Kes-kes dalam kluster ini dilaporkan positif COVID-19 bermula pada 24 Februari 2021 hasil saringan bersasar pekerja sebuah pasar raya yang terletak di Desa Coalfields, Sungai Buloh, Kuala Selangor.

Sehingga 1 Mac 2021, sejumlah 28 individu telah disaring, di mana 18 kes dikesan positif COVID19 dalam kluster ini.

2. KLUSTER JALAN MELATI

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Gombak di Selangor. Kes-kes dalam kluster ini dilaporkan positif COVID-19 pada 1 Mac 2021 hasil saringan bersasar pekerja-pekerja sebuah kedai serbaneka yang terletak di Jalan Melati, Kuang, Gombak.

Sehingga 1 Mac 2021, sejumlah 16 individu telah disaring, di mana tujuh kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

3. KLUSTER JALAN KEMPAS TIGA

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Muar di Johor. Kes-kes dalam kluster ini dilaporkan positif COVID-19 bermula pada 25 Februari 2021 hasil saringan bersasar pekerja-pekerja dua buah kilang yang terletak di Kawasan Perindustrian Bakri, Muar.

Nama kluster merujuk kepada lokaliti asrama pekerja di mana penularan kes-kes berlaku iaitu di Jalan Kempas 3, Kawasan Perindustrian Bakri, Muar.

Sehingga 1 Mac 2021, sejumlah 592 individu telah disaring, di mana 344 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

4. KLUSTER KAMPUNG SUNGAI BURUNG

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Pontian di Johor. Kes-kes dalam kluster ini dilaporkan positif COVID-19 pada 1 Mac 2021 hasil saringan bersasar pekerja-pekerja sebuah kilang yang terletak di Kampung Sungai Burung, Pekan Nanas, Pontian.

Sehingga 1 Mac 2021, sejumlah 93 individu telah disaring, di mana 22 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

5. KLUSTER JALAN WAWASAN 12

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Batu Pahat di Johor. Kes-kes dalam kluster ini dilaporkan positif COVID-19 pada 1 Mac 2021 hasil saringan bersasar pekerja-pekerja sebuah kilang yang terletak di Jalan Wawasan 12, Batu Pahat.

Sehingga 1 Mac 2021, sejumlah 118 individu telah disaring, di mana tujuh kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

6. KLUSTER JALAN CEMPEDAK

Kluster kumpulan berisiko tinggi ini melibatkan daerah Kepong di Kuala Lumpur.

Kes indeks dalam kluster ini (iaitu kes ke-281,235) dilaporkan positif COVID-19 pada 21 Februari 2021 hasil saringan individu bergejala.

Kluster ini melibatkan sebuah pusat jagaan warga emas yang terletak di Jalan Cempedak, Sentul, Kepong.

Sehingga 1 Mac 2021, sejumlah 30 individu telah disaring, di mana 10 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

7. KLUSTER BUKIT MARAK

Kluster komuniti ini melibatkan daerah Kota Bharu dan Bachok di Kelantan. Kes indeks dalam kluster ini (iaitu kes ke-274,772) dilaporkan positif COVID-19 pada 18 Februari 2021 hasil saringan individu bergejala.

Nama kluster diambil berdasarkan lokaliti kediaman kes indeks iaitu di Bukit Marak, Kota Bharu.

Sehingga 1 Mac 2021, sejumlah 310 individu telah disaring, di mana 66 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.