BALING: Seramai tujuh pelajar Maktab Mahmud Baling, Kedah merangkumi enam pelajar tingkatan empat dan seorang pelajar tingkatan satu disahkan positif COVID-19, pada Sabtu.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman, memaklumkan siasatan bagi mengenalpasti kluster jangkitan wabak berkenaan masih lagi berjalan.

Tambahnya, berdasarkan kebiasaan seperti kes-kes sebelum ini, hanya kelas yang melibatkan pelajar COVID-19 sahaja yang akan ditutup.

Namun, sekiranya lebih banyak kelas terlibat, penutupan sekolah akan dibuat bergantung kepada keputusan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah.

Beliau turut menyatakan bahawa kesemua pelajar yang didapati positif COVID-19 telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

"Berdasarkan maklumat yang diberikan ini, (seramai) 80 orang murid, 23 orang guru dan 2 orang penyelia asrama yang mempunyai kontak rapat dengan dengan pelajar positif di Maktab Mahmud Baling ini.

"Jadi (ketika ini), pihak kesihatan sedang melaksanakan kerja-kerja isolasi dan mereka (yang positif) ini telah dimasukkan ke wad dan ujian swab (telah dilaksanakan) kepada mereka yang (merupakan) kontak rapat di sekolah tersebut," katanya.

Dr Hayati berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Tautan Kasih Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim bersama pengamal media Kedah di sebuah hotel di Alor Setar pada Sabtu.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menasihati kumpulan waris di sekolah berkenaan dan masyarakat di daerah Baling memberi lebih perhatian terutama melibatkan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.