Kadar pengangguran UK meningkat ke tahap tertinggi dalam tempoh hampir lima tahun

Pejabat Perangkaan Kebangsaan (ONS) menyatakan kadar pengangguran meningkat kepada 5.1 peratus bagi tempoh tiga bulan sehingga Oktober, berbanding lima peratus dalam tempoh tiga bulan sehingga September. - Foto hiasan/AP
LONDON: Kadar pengangguran di Britain meningkat ke tahap tertinggi dalam tempoh hampir lima tahun, manakala pertumbuhan gaji terus menyusut dengan golongan muda menjadi kumpulan paling terkesan akibat pasaran pekerjaan yang mencabar, menurut data rasmi lapor PA Media/dpa.
Pejabat Perangkaan Kebangsaan (ONS) menyatakan kadar pengangguran meningkat kepada 5.1 peratus bagi tempoh tiga bulan sehingga Oktober, berbanding lima peratus dalam tempoh tiga bulan sehingga September.
Tahap ini merupakan yang tertinggi sejak suku pertama 2021. Bagaimanapun, jika tempoh pandemik tidak diambil kira, ia merupakan kadar tertinggi yang direkodkan sejak awal 2016.
ONS turut mendedahkan bahawa purata pertumbuhan gaji tetap menyusut kepada 4.6 peratus bagi tempoh tiga bulan sehingga Oktober, turun daripada 4.7 peratus pada tiga bulan sebelumnya. Selepas mengambil kira inflasi Indeks Harga Pengguna (IHP), pertumbuhan gaji adalah 0.9 peratus lebih tinggi.
Data terbaharu itu menganggarkan jumlah pekerja dalam senarai penggajian merosot sebanyak 38,000 orang sepanjang November kepada 30.3 juta, yang menjadi bukti lanjut mengenai pasaran buruh yang semakin lemah.
Menurut ONS, pekerja muda khususnya berdepan kesukaran dalam iklim pengambilan pekerja yang mencabar ketika ini.
Pengarah Perangkaan Ekonomi ONS, Liz McKeown berkata: "Gambaran keseluruhan terus menunjukkan pasaran buruh yang semakin lemah.
"Jumlah pekerja dalam senarai penggajian telah menurun sekali lagi, mencerminkan aktiviti pengambilan pekerja yang hambar, manakala firma memaklumkan terdapat pengurangan dalam tawaran pekerjaan bagi tempoh terbaharu.
"Kelemahan ini juga dicerminkan melalui peningkatan kadar pengangguran sementara kekosongan jawatan kekal tidak berubah secara meluas. Penurunan jumlah pekerja dan peningkatan pengangguran dilihat ketara terutamanya dalam kalangan kumpulan usia muda."
--BERNAMA-PA Media/dpa
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


