Pihak polis berjaya menahan tujuh warganegara Filipina berusia antara 22 hingga 38 tahun, yang bekerja sebagai pegawal keselamatan di beberapa syarikat swasta sekitar Selangor dan Kuala Lumpur, kerana disyaki terlibat dalam aktiviti kumpulan pengganas Abu Sayyaf (ASG).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata penangkapan dibuat oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas dalam satu operasi di ibu negara.

Polis tahan 7 warganegara Filipina kerana disyaki terlibat dalam kumpulan Abu Sayyaf
“Operasi dijalankan susulan tangkapan yang dibuat pada 30 Ogos, ke atas sel ASG di Kuala Lumpur yang merancang serangan semasa Upacara Penutupan Sukan SEA ke-29 di Stadium Nasional Bukit Jalil dan Perbarisan Hari Kebangsaan ke-60 di Dataran Merdeka.

“Salah seorang suspek yang berumur 22 tahun, merupakan anggota ASG yang pernah terlibat dalam pertempuran dengan tentera Filipina dan turut terlibat dalam aktiviti penculikan di Selatan Filipina.

“Ketujuh-tujuh mereka menyusup masuk ke Malaysia melalui Sandakan, Sabah pada September 2015, sebelum berlepas ke Kuala Lumpur dengan menggunakan dokumen perjalanan palsu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Foto PDRM
Beliau berkata PDRM akan terus melancarkan operasi susulan bagi mengesan dan menangkap anasir-anasir pengganas asing yang menyusup masuk ke Malaysia sama ada untuk berlindung, mengumpul dana, melancarkan serangan di negara ini, ataupun menjadikan Malaysia sebagai pangkalan operasi mereka bagi merancang serangan ke atas negara ketiga.

Tambahnya, sejak awal tahun ini, seramai 41 warganegara asing yang dikategorikan sebagai foreign terrorist fighter telah berjaya ditangkap oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas kerana disyaki melakukan kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) 2012 (Akta 747).