TAWAU: Kira-kira 70 lot gerai kayu yang menjual pakaian terpakai atau rombengan dalam bahasa tempatan di Kampung Titingan di sini musnah dalam kebakaran awal pagi ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Jemishin Ujin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.44 pagi dan seterusnya 16 anggota dengan empat jentera digerak ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan sumber air daripada jentera bomba dan pili bomba dan kebakaran terkawal pada 5.23 pagi. Turut membantu operasi termasuk 10 anggota bomba komuniti.
“Sebanyak 350 rumah dan lot gerai berjaya diselamatkan daripada turut terbakar dan tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian itu. Operasi ditamatkan pada 7.42 pagi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jemishin berkata jumlah kerugian serta punca kebakaran masih dalam siasatan lanjut pihaknya.
-- BERNAMA