KOTA BHARU: Kadar penagihan dadah jenis sintetik di Malaysia kini berada pada tahap yang membimbangkan apabila menyumbang kepada 70 peratus daripada jumlah keseluruhan penagih di seluruh negara.
Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Datuk Ruslin Jusoh berkata perkembangan itu selari dengan ancaman trend terbaharu yang mana sindiket kini dikesan mencampurkan bahan terlarang itu ke dalam cecair rokok elektronik atau vape.
Advertisement
Beliau berkata tangkapan dan rampasan terbaharu oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjadi petunjuk kukuh bahawa bahan memabukkan berkenaan telahpun menembusi pasaran tempatan dan aktif digunakan oleh penagih.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini belum ada sebarang kes penagihan melibatkan dadah jenis Fentanyl yang direkodkan di mana-mana pusat pemulihan kendalian AADK.
"Setakat ini, penagih yang disahkan mengambil Fentanyl belum ada lagi di peringkat fasiliti kita. Kemungkinan mereka (penagih Fentanyl) berada di luar sana, namun kita belum mempunyai sebarang rekod pengesahan mengenainya.
"Meskipun begitu, AADK sentiasa bersedia. Kita telahpun mempunyai kesiapsiagaan mengendalikan penagihan dadah sintetik seperti 'magic mushroom' yang memberi kesan halusinasi dan memudaratkan kesihatan mental dalam jangka masa yang singkat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Sua Mesra Ketua Pengarah AADK Tahun 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan Penambang, di sini, hari ini.
Ruslin berkata Fentanyl merupakan bahan yang amat berbahaya dengan tahap kemudaratan 50 peratus lebih tinggi berbanding morfin.
Sementara itu beliau berkata bagi memastikan proses rawatan dan pemulihan kekal efektif, AADK kini mengklasifikasikan pendekatan rawatan yang berbeza mengikut jenis dadah yang diambil.
Beliau berkata pendekatan khusus telah dirangka bagi menangani penagih dadah tradisional seperti heroin dan ganja, manakala kaedah berbeza digunakan untuk yang mengambil dadah jenis stimulan (ATS) seperti syabu dan pil kuda.
"Bagi kes dadah berhalusinasi seperti 'magic mushroom' atau jika wujud kes membabitkan Fentanyl selepas ini, pendekatannya juga akan berbeza.
"Walaupun modul asasnya sama, kaedah (approach) pelaksanaannya perlu diubah suai mengikut keperluan. Insya-Allah, pihak AADK sudah bersedia mendepani trend baharu ini," kata Ruslin.
Pada Selasa lalu, PDRM mengesan usaha sindiket pengedaran dadah memperkenalkan produk rokok elektronik atau vape mengandungi furanyl fentanyl ke pasaran tempatan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, dilapor berkata ia dikenal pasti melalui Operasi bersepadu Op Vape 1.0 dari 13 hingga 17 April lalu di seluruh negara.
-- BERNAMA