KUALA LUMPUR: Duta Sepanyol ke Malaysia dan Brunei, José Luis Pardo, yang bakal menamatkan tempoh tugasannya di sini, mengakui akan merindui momen “makan-makan” di Malaysia, terutamanya hidangan sarapan popular negara, roti canai.
Sebagai peminat tegar hidangan kegemaran rakyat Malaysia itu, Pardo berkata beliau gemar menikmati roti canai sebagai sarapan, dan sekiranya terlepas pada waktu pagi, beliau akan menggantikannya pada waktu minum petang.
Advertisement
Bagaimanapun, beliau mendedahkan cara pemakanannya agak unik kerana menikmati roti canai tanpa kuah kari atau dal seperti kebanyakan rakyat Malaysia, sebaliknya memilih gandingan pisang, telur, mayonis, malah timun.
“Roti canai memberi saya kebebasan. Saya boleh menikmatinya dengan apa sahaja. Saya juga menyimpan stok roti canai sejuk beku di rumah dan hanya memanaskannya pada hujung minggu.
Selain roti canai, saya juga menggemari buah-buahan Malaysia seperti manggis dan buah naga,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual di pejabatnya, di sini, baru-baru ini.
Beliau turut mengakui berat badannya bertambah sejak tiba di Malaysia pada awal Ogos 2022.
Mengimbas kembali tempoh perkhidmatannya, Pardo, 59, menyifatkan Malaysia sebagai "lokasi penempatan terbaik" sepanjang kerjayanya.
“Malaysia adalah penempatan pertama saya di Asia dan seperti slogannya 'Malaysia, Truly Asia', berada di sini amat menyeronokkan. Setakat ini, ia adalah penempatan terbaik dalam kerjaya saya.
Malaysia bukan sahaja akan kekal di dalam perut saya, tetapi yang lebih penting, di dalam hati saya. Sangat menakjubkan. Rakyatnya, negaranya... sangat menarik dengan kepelbagaian etnik, agama, dan geografi,” katanya.
Beliau turut melahirkan rasa kagum terhadap bandar raya Kuala Lumpur, terutamanya kawasan rekreasi seperti Taman Tasik Titiwangsa, Taman Botani, dan Batu Caves.
Sebagai peminat dan pengumpul karya seni, Pardo berkata beliau akan membawa pulang 32 lukisan hasil karya pelukis muda tempatan yang dibelinya daripada pelbagai galeri di seluruh negara.
Menyentuh mengenai hubungan dua hala, beliau menarik perhatian bahawa hubungan antara Sepanyol dan Malaysia terus berkembang pesat terutamanya dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
“Kini, Sepanyol dan Malaysia mempunyai dialog politik peringkat tinggi tahunan yang membolehkan kedua-dua negara menyemak tahap kerjasama dalam bidang keselamatan, pendidikan, pertanian, kesihatan, dan penyelidikan saintifik.
“Tahun lepas, dialog diadakan di Putrajaya dan bagi tahun ini, ia akan berlangsung di Madrid pada separuh kedua tahun. Tarikhnya akan diumumkan kelak,” katanya.
Beliau menekankan kepentingan dialog itu dalam memacu hubungan dua hala ke hadapan, apatah lagi kedua-dua negara bakal menyambut ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik pada tahun hadapan.
Pardo turut menyifatkan detik persembahan watikah pelantikan kepada Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menyaksikan istiadat pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17, serta kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada 2025 sebagai antara pengalaman paling bermakna di sini.
Beliau juga mengenang detik melihat pelajar sekolah dan universiti di Malaysia mempelajari budaya Sepanyol seperti tarian “flamenco”, yang dianggapnya sebagai bukti keutuhan persahabatan dan hubungan pelbagai fakad antara kedua-dua negara.
“Sangat memuaskan apabila melihat hubungan antara rakyat Sepanyol dan Malaysia. Saya pasti akan datang kembali. Malaysia sudah seperti rumah kedua bagi saya,” katanya.
Pardo akan berlepas ke Amman pada Isnin ini untuk memulakan tugas baharu sebagai Duta Sepanyol ke Jordan.
-- BERNAMA