Sebanyak 71 keluarga yang terjejas akibat bencana puting beliung di Gugusan Manjoi menerima bantuan ihsan daripada pejabat Anggota Parlimen Tambun Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah pada Selasa.

Bantuan itu disampaikan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Manjoi Mohamed Ziad Mohamed Zainal Abidin yang mewakili Ahmad Husni dalam satu majlis di Dewan Orang Ramai Kampung Tengku Hussein, Manjoi di sini.

Mohamed Ziad berkata sebanyak RM20,000 diperuntukkan bagi membantu kesemua keluarga mangsa yang terlibat dengan kejadian berkenaan.

"Bantuan yang diberikan itu sebagai tanda simpati dan keprihatinan pemimpin kita terhadap mereka," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan tersebut.

Beliau berkata bantuan untuk meringankan beban mereka dalam menampung kos membaiki kerosakan rumah.

Dalam kejadian pukul 2.45 petang pada Ahad lepas, sebanyak 57 buah rumah di Kampung Tengku Hussein Baru dan Kampung Sungai Tapah Seberang di Manjoi mengalami kerosakan akibat puting beliung.

Sebahagian besar rumah berkenaan mengalami kerosakan teruk di bahagian bumbung apabila atap zink diterbangkan angin puting beliung.

Sementara itu, mengulas kejadian banjir yang melanda Kampung Kuala Tanggung dan Kampung Tengku Hussein Lama yang turut terletak di Manjoi, Mohamed Ziad berkata proses menaik taraf jambatan Jalan Raja masih dalam peringkat perancangan yang digerakkan oleh Ahmad Husni sendiri.

Kerja-kerja naik taraf itu melibatkan anggaran kos sebanyak RM10 juta, katanya.

"Diharapkan dengan meninggikan jambatan itu, aliran air akan berjalan lancar dan sampah sarap tidak akan tersangkut sehingga mengakibatkan air sungai melimpah masuk ke dalam kawasan penempatan," katanya.