Skip to main content

Malaysia

71,000 pemilik kenderaan Sabah belum mohon tambahan kuota BUDI Diesel

KUALA TERENGGANU, 1 Julai -- Pengguna, Mohd Iffat Mohd Zain, 35, mengisi minyak melalui BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) bagi menikmati harga subsidi RM2.10 seliter ketika ditemui di Stesen Minyak Petronas Tok Adis hari ini._BERNAMA
Daripada kira-kira 120,000 pemilik kenderaan yang layak di Sabah, hanya sekitar 49,000 telah mengemukakan permohonan setakat ini. - Gambar hiasan
Advertisement

KOTA KINABALU: Kira-kira 71,000 pemilik kenderaan di Sabah yang layak menerima tambahan kuota 100 liter di bawah BUDI Diesel diseru agar segera mengemukakan permohonan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata daripada kira-kira 120,000 pemilik kenderaan yang layak, hanya sekitar 49,000 telah mengemukakan permohonan setakat ini.

Beliau berkata penggunaan tambahan kuota 100 liter itu perlu dimanfaatkan terlebih dahulu bagi membolehkan kerajaan menilai keperluan sebenar sebelum mempertimbangkan sebarang penambahan kuota BUDI Diesel.

“Jadi kita harapkan baki yang belum membuat permohonan itu dapat mendaftarkan kenderaan mereka supaya boleh guna tambahan100 liter tersebut dan barulah kita boleh lihat berapa kuota sebenarnya yang diperlukan,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Program MADANI Kita Bersama Komuniti Darau @Sepanggar di sini hari ini.

Mustapha berkata kerajaan turut menerima permintaan daripada peniaga dan syarikat supaya kuota diesel bagi kategori kenderaan tertentu ditambah dan perkara itu kini dalam penelitian Kementerian Kewangan.

Beliau berkata kerajaan juga telah mendapatkan pandangan pelbagai pihak mengenai pelaksanaan BUDI Diesel dan kajian terperinci akan dibuat sebelum langkah seterusnya diumumkan.

Pada Selasa lepas, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata kira-kira 120,000 pemilik kenderaan pacuan empat roda termasuk trak pikap dan jip di Sabah layak memohon tambahan kuota 100 liter BUDI Diesel susulan peluasan kelayakan, namun hanya kira-kira 49,000 telah berbuat demikian.

Beliau turut dilaporkan berkata kerajaan dijangka mengumumkan beberapa penambahbaikan terhadap pelaksanaan BUDI Diesel dalam tempoh satu hingga dua bulan, khususnya berkaitan proses permohonan dan syarat kelayakan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement