MALAYSIA
72 peratus veteran sertai latihan PERHEBAT dapat pekerjaan - Khaled Nordin

Mohamed Khaled menghadiri Majlis Penganugerahan Diploma Kemahiran Malaysia, Program Recognition of Prior Experiental Learning (RPEL) dan Sijil PERHEBAT, Sungai Buloh, pada Selasa. - Gambar Astro AWANI
SUNGAI BULOH : Sebanyak 72 peratus daripada veteran yang menyertai program latihan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) telah berjaya mendapat pekerjaan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pencapaian ini menyaksikan satu peningkatan berbanding 60 peratus yang direkodkan pada tahun lalu.
“Daripada jumlah tersebut, 65.4 peratus telah menjadi usahawan atau bekerja sendiri, manakala 34.6 peratus pula bekerja dengan di bawah majikan.
“Meskipun pencapaian ini memberangsangkan, namun masih ada ruang untuk penambahbaikan dan pemantapan yang perlu kita usahakan,” katanya.Beliau berkata demikian di Majlis Penganugerahan Diploma Kemahiran Malaysia, Program Recognition of Prior Experiental Learning (RPEL) dan Sijil PERHEBAT, di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan PERHEBAT perlu menyelidik lebih teliti dan mendalam faktor- faktor yang menyebabkan kira-kira 28 peratus daripada veteran yang terlibat masih belum mendapat pekerjaan.
“Ini bermakna, kita mesti sentiasa terbuka untuk menyemak kandungan latihan, pendekatan yang digunakan serta proses latihan peralihan ini dilakukan, mesti mengikut corak pasaran semasa. Ia mesti bersifat terkini dan tidak lapuk.
“Kita mesti berlapang dada dan sentiasa bersikat terbuka untuk menerima hakikat bahawa masih banyak ruang penambahbaikan dan pemantapan yang perlu kita usahakan demi memperluas manfaat PERHEBAT kepada warga veteran kita,” katanya.
Pengerusi PERHEBAT, Datuk Dr Roziah Omar berkata, pada kali ini sejumlah 3,473 anggota ATM berjaya menamatkan Latihan Peralihan di seluruh Malaysia.
“Sejumlah 514 anggota dan veteran ATM berjaya ditauliahkan Diploma Kemahiran Malaysia pada tahun ini, menerusi Program R- PEL,” katanya.
Sejak 2017, PERHEBAT telah melaksanakan Program Recognition of Prior Experiential Learning atau singkatannya R-PEL yang memberi peluang kepada anggota dan veteran ATM untuk menamatkan perkhidmatan dengan mempunyai diploma.
Tahun lalu, PERHEBAT telah menjalin kerjasama dengan 32 agensi awam dan swasta meliputi 17 MoU dan MoA antaranya bersama Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Talent Corp, GIATMARA dan HRD Corp manakala 15 lagi kerjasama dengan syarikat swasta.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami