JERANTUT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melakukan pemeriksaan mengejut terhadap 75,383 atau 16 peratus premis di seluruh negara khususnya di kawasan luar bandar.

Menurut Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam, ia adalah untuk memastikan bekalan mencukupi dan tiada berlaku kegiatan sorok barangan kawalan.

Selain itu, KPDNHEP turut melancarkan Op Ayam, Telur dan Minyak Masak (Ops ATM) yang bertujuan untuk membanteras dan menggempur aktiviti menyorok barang kawalan dan memastikan keberadaan bekalan terutama barang makanan negara sentiasa mencukupi dan mudah diperolehi oleh pengguna pada harga berpatutan pada setiap masa.

“Operasi ini mulai dijalankan pada 1 Januari hingga 24 Jun tahun ini berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu iaitu sebanyak 472,036 premis.

"Bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan Ops ATM ini lebih menyeluruh dan berkesan, tumpuan juga turut  diberikan ke atas premis-premis yang berada di kawasan luar bandar.

“KPDNHEP berharap agar semua peniaga termasuk di premis yang berada di luar bandar untuk terus mematuhi semua perundangan yang dikuatkuasakan oleh pihak kementerian bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan tegas selain bekerjasama dengan Kerajaan untuk memastikan keberadaan barang keperluan terutamanya ayam, telur ayam dan minyak masak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan pemeriksaan mengejut sempena pelaksanaan Op ATM di sebuah pasar raya dan sekitar bandar Jerantut, termasuk premis kedai runcit di Kuala Tahan, hari ini.

Katanya, pemeriksaan di bawah Ops ATM yang telah dilancarkan sejak 13 Jun 2022 lalu, khusus untuk pemeriksaan aktiviti sorok barangan bekalan.

Sebanyak 463 pemeriksaan telah dijalankan dan tiada kes yang dikesan serta tiada yang mengambil kesempatan keuntungan secara tidak munasabah dan atau pencatutan harga.

Tambahnya, KPDNHEP memberi amaran keras kepada individu dan syarikat agar tidak terbabit dan bersubahat dengan melakukan aktiviti penyelewengan dengan menyorok barang kawalan serta subsidi bagi mengelakkan dikenakan tindakan yang lebih tegas oleh pihak berkuasa.

“Sekiranya disabit melakukan kesalahan tersebut, individu terbabit boleh diambil tindakan di bawah AKB 1961 dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Manakala bagi syarikat yang melakukan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta,” katanya.

Azman berkata, manakala di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613) turut dilakukan.

“Iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutanhak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan barangan kawalan dan subsidi.

“Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613, boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM 5 juta,mana yang lebih tinggi,” katanya.

Katanya, masyarakat disaran untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan memberikan kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan dan menyorok barang kawalan dan subsidi bagi memastikan aktiviti haram ini dapat dibanteras.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak Kementerian melalui saluran aplikasi WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000.

“Atau boleh membuat aduan kepada Portal Aduan; e-aduan.kpdnhep.gov.my;  Call Centre 1-800-886-800; Emel [email protected] dan  Ez ADU KPDNHEP,” katanya lagi.