Dua lelaki didakwa ganggu rangkaian komunikasi guna peralatan tidak sah

Hakim Nor Hasniah membenarkan Look dan Ling masing-masing diikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin serta menetapkan 9 Disember ini untuk sebutan semula kes. - Gambar hiasan
SHAH ALAM: Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan kelengkapan komunikasi tidak diperakui serta radas yang menyebabkan gangguan kepada perkhidmatan rangkaian sebuah syarikat telekomunikasi.
Kedua-dua Orang Kena Saman (OKS) Ling Siew Lung, 46, dan Look Voon How, 47, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nor Hasniah Ab Razak.
Look didakwa menggunakan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui iaitu satu set GSM Module tanpa jenama, model dan nombor siri sebagaimana dikehendaki bawah Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 di tempat letak kenderaan berhadapan sebuah restoren makanan segera di Subang Jaya dalam daerah Petaling pada 11.40 pagi, 19 Nov 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 dan boleh dihukum bawah Peraturan 16 (3) peraturan yang sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Look turut berdepan pertuduhan kedua kerana dengan sengaja menggunakan radas sama sehingga menyebabkan gangguan elektromagnetik yang menjejaskan perkhidmatan rangkaian sebuah syarikat telekomunikasi di kawasan berkenaan.
Kesalahan itu didakwa mengikut Peraturan 34(5)(c) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Spektrum) 2000 yang boleh dihukum bawah Peraturan 34 (5) peraturan yang sama, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM300,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Ling didakwa bersubahat dengan Look bagi melakukan dua kesalahan sama di tempat, tarikh dan masa sama mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman serupa.
Hakim Nor Hasniah membenarkan Look dan Ling masing-masing diikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin serta menetapkan 9 Disember ini untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Fadhli Ab Wahab, manakala kedua-dua tertuduh masing-masing diwakili peguam Kee Wei Lon dan Jonas Ee Gen You.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


