PUTRAJAYA: Seramai 751 pekerja asing Bangladesh yang diperdaya dengan tawaran kerja di Pengerang, Johor, telah memfailkan tuntutan gaji yang tidak dibayar berjumlah RM2.21 juta daripada majikan mereka.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, tuntutan itu telah diserahkan kepada pengurus syarikat dan tarikh sebutan kes ditetapkan pada 5 Feb depan di pejabat buruh daerah Pengerang.

"Pendirian kementerian dalam aspek upah dan gaji ialah pekerja asing yang dibawa masuk tapi tak dibayar gaji atas alasan tiada kerja dilakukan, walaupun pekerja itu sihat dan sedia bekerja, seperti yang berlaku di Pengerang, ini satu kesalahan serius.

"Pekerja berhak terhadap gaji walaupun tiada kerja diberikan, selaras dengan peruntukan dalam Akta Kerja. Justeru menjadi pendirian kita, on the first basis, kita anggap pekerja yang masuk ke Malaysia wajib diberi gaji," katanya dalam sidang media khas bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pada Selasa.

Jelasnya lagi, Jabatan Tenaga Kerja Johor telah membuka 13 kertas siasatan terhadap lima majikan terbabit, dengan timbalan pendakwa raya akan menyemak kertas siasatan tersebut pada Rabu sebelum tindakan susulan diambil.

Difahamkan, 171 daripada 751 pekerja Bangladesh berkenaan ditahan polis bulan lalu selepas mengambil bahagian dalam berjalan kaki beramai-ramai untuk membuat laporan polis kerana mendakwa ejen yang membawa mereka masuk tidak memberikan pekerjaan.

Sim mengesahkan kesemua mereka sudah dibebaskan namun tidak memberikan maklumat lanjut mengenai perkara itu.

Awal bulan ini, Sim dan Saifuddin Nasution memaklumkan dalam satu kenyataan bersama bahawa syarikat yang bertanggungjawab membawa masuk warga Bangladesh tersebut dan menjanjikan mereka pekerjaan yang tidak wujud di Pengerang, telah disenarai hitam dan akan dikenakan tindakan undang-undang.