Skip to main content

Malaysia

77 menara telekomunikasi baharu bakal dibina di jajaran lebuh raya - Nanta

KUALA LUMPUR, 22 Julai -- Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek dan Surat Setuju Terima (SST) bagi Program Cakna MADANI : Pelaksanaan Program Menaiktaraf Infrastruktur Keselamatan Jalan Raya 2026 di Bahagian Perkhidmatan Mekanikal JKR Workshop hari ini._BERNAMA
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, inisiatif itu merupakan hasil kerjasama strategik antara MCMC da LLM bagi memperkukuh infrastruktur digital negara. - Foto Bernama
Advertisement

CYBERJAYA: Sebanyak 77 menara telekomunikasi baharu disasarkan dibina di sepanjang kira-kira 50 kilometer jajaran lebuh raya yang dikenal pasti mempunyai liputan telekomunikasi tidak memuaskan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, inisiatif itu merupakan hasil kerjasama strategik antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bagi memperkukuh infrastruktur digital negara.

Menurutnya, pembinaan menara berkenaan akan meningkatkan ketersambungan komunikasi di sepanjang lebuh raya, sekali gus menyokong pembangunan lebuh raya pintar (Smart Highway) pada masa hadapan.

“Hasil daripada kerjasama strategik ini, MCMC menyasarkan pembinaan 77 menara telekomunikasi baharu di sepanjang kira-kira 50 kilometer jajaran lebuh raya yang telah dikenal pasti tidak mempunyai liputan telekomunikasi yang memuaskan.

“Ini merupakan satu langkah yang signifikan dalam usaha memperkukuh kesiapsiagaan infrastruktur negara serta memastikan manfaat pembangunan digital dapat dirasai dengan lebih meluas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara MCMC dan LLM di Auditorium MCMC, Cyberjaya pada Khamis.

Alexander berkata, pembangunan infrastruktur negara tidak lagi boleh dilihat hanya daripada aspek fizikal, sebaliknya perlu bergerak seiring dengan pembangunan infrastruktur digital bagi memenuhi keperluan ekonomi moden yang semakin bergantung kepada teknologi dan data.

Menurutnya, lebuh raya kini bukan sekadar menghubungkan destinasi, malah berfungsi sebagai koridor ekonomi strategik yang menghubungkan pusat perdagangan, kawasan perindustrian, pelabuhan, lapangan terbang serta komuniti di seluruh negara.

Katanya, pembangunan lebuh raya pintar memerlukan penyelarasan yang kukuh antara infrastruktur jalan raya dan komunikasi bagi menyokong pelaksanaan pelbagai teknologi termasuk Sistem Pengangkutan Pintar (ITS), analitik trafik berasaskan data serta sistem Multi-Lane Free Flow (MLFF).

“Lebih penting, usaha ini membuktikan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan tiada kawasan strategik yang tercicir daripada arus pembangunan dan kemajuan teknologi negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata LLM akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam pembangunan infrastruktur komunikasi di kawasan rizab lebuh raya (Right of Way), termasuk menyelaras kerjasama antara syarikat konsesi lebuh raya, penyedia perkhidmatan telekomunikasi dan agensi teknikal berkaitan.

Beliau berkata pendekatan itu akan membantu mempercepat pelaksanaan projek selain memastikan setiap inisiatif yang dirancang memberi manfaat secara langsung kepada pengguna lebuh raya dan rakyat.

Must Watch Video

Advertisement