78 ADUN Sabah termasuk enam dilantik angkat sumpah hari ini

Hajiji dan ADUN negeri Sabah yang lain ketika upacara mengangkat sumpah ADUN Sabah di Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini.- Gambar/ Bernama
KOTA KINABALU: Sebanyak 78 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah termasuk enam ADUN lantikan mengangkat sumpah di hadapan Speaker Datuk Kadzim M Yahya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini.
Ringkasan AI
- 78 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah mengangkat sumpah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, termasuk enam ADUN baharu dan mereka dipimpin oleh Datuk Seri Hajiji Noor serta Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
- DUN Sabah mempunyai 79 kerusi; satu kerusi kosong selepas kematian Datuk Seri Bung Moktar Radin dari DUN Lamag.
- Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memenangi 29 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17, diikuti oleh Parti Warisan dengan 25 kerusi.
Turut mengangkat sumpah ialah ADUN Karanaan Datuk Seri Masidi Manjun yang juga Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah serta ADUN Kadamaian Datuk Ewon Benedick yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah.
Selain itu, tujuh ADUN yang juga Anggota Jemaah Menteri Sabah turut mengangkat sumpah iaitu Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif (Membakut), Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Rubin Balang (Kemabong), Datuk Jamawi Jaafar (Melalap), Datuk Jafry Arifin (Sukau), Datuk Nizam Abu Titingan (Apas) dan Datuk Julita Majungki (Matunggong).
Seramai 17 ADUN yang dilantik sebagai Pembantu Menteri turut menangkat sumpah termasuk termasuk Datuk Caesar Mandela Malakun yang juga ADUN lantikan.
Lima lagi ADUN lantikan yang mengangkat sumpah ialah Datuk Chin Shu Ying; Datuk Abdul Kassim Razali; Datuk Mohamed Razali Mohamed Razi; Datuk Roger Chin Ken Fong dan Grace Lee Li Mei.
Ketua Pembangkang DUN Sabah merangkap ADUN Senallang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal turut mengangkat sumpah.
Terdahulu, Kadzim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Bung Moktar s ambil mendoakan semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17, 29 Nov lepas, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memenangi 29 daripada 73 kerusi DUN yang dipertandingkan, diikuti Parti Warisan (25 kerusi), Barisan Nasional (enam), calon Bebas (lima), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) (tiga) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) (dua).
Perikatan Nasional, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat dan Pakatan Harapan masing-masing menang satu kerusi.
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini dan info interaktif PRN Sabah 2025 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

