Skip to main content

Malaysia

Balai Seni Negara pamer karya 'Tumbuh' pada Pameran Hanya Satu (Single)

Balai Seni Negara memaklumkan karya Tumbuh mengambil inspirasi daripada cerita rakyat mengenai penjaga hutan yang tidak kelihatan dan dipercayai memelihara keseimbangan alam. - Gambar Balai Seni Negara
Balai Seni Negara memaklumkan karya Tumbuh mengambil inspirasi daripada cerita rakyat mengenai penjaga hutan yang tidak kelihatan dan dipercayai memelihara keseimbangan alam. - Gambar Balai Seni Negara

Advertisement

KUALA LUMPUR: Balai Seni Negara menampilkan Tumbuh, sebuah karya seni instalasi hasil kolaborasi Azam Aris dan Yuki Mun menerusi Pameran Hanya Satu (Single) yang berlangsung dari 30 Sept hingga 20 Dis ini.

Balai Seni Negara dalam kenyataan hari ini memaklumkan karya Tumbuh mengambil inspirasi daripada cerita rakyat mengenai penjaga hutan yang tidak kelihatan dan dipercayai memelihara keseimbangan alam.

Menurut kenyataan itu, idea tersebut menjadi titik permulaan kepada karya mengetengahkan proses pertumbuhan yang berlaku secara senyap tetapi berterusan, serta hubungan antara manusia dan alam sentiasa wujud walaupun tidak dapat dilihat secara langsung.

“Dengan ketinggian kira-kira 14 kaki (4.26 meter), instalasi ini dibina menggunakan bahan semula jadi seperti tempurung kelapa, jerami padi, batang pokok kelapa dan tali jut yang disusun membentuk struktur organik.

“Bentuk karya mengambil inspirasi daripada cara tumbuhan berkembang secara semula jadi melalui pergerakan tidak teratur iaitu membengkok, berpintal, bercabang dan berkembang tanpa mengikut laluan yang lurus,” menurut kenyataan itu.

Balai Seni Negara memaklumkan pemilihan bahan yang dekat dengan kehidupan seharian turut menjadi antara elemen utama dalam penghasilan karya berkenaan seperti tempurung kelapa dan jerami padi yang lazim ditemui diolah daripada objek biasa kepada bentuk serta konteks visual dan ruang baharu, sekali gus memperlihatkan potensi bahan semula jadi dalam penghasilan karya seni kontemporari.

“Dalam konteks kehidupan masa kini yang berkembang pesat, Tumbuh mengajak pengunjung untuk melihat semula hubungan manusia dengan alam yang sering kurang diberikan perhatian. Karya ini menekankan bahawa hubungan tersebut penting dalam memastikan keseimbangan dan keharmonian antara manusia dengan persekitarannya terus terpelihara.

“Penggunaan bahan organik turut menjadikan karya Tumbuh berubah secara semula jadi sepanjang tempoh pameran. Perubahan ini menjadi sebahagian daripada metafora dibawa menerusi karya ini, iaitu proses pertumbuhan sentiasa berkembang dan menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai dijemput mengunjungi Pameran Hanya Satu (Single) di Balai Seni Negara dan untuk maklumat lanjut mengenai program atau pameran, boleh layari www.artgallery.gov.my atau ikuti saluran media sosial rasmi Balai Seni Negara. 

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement