KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat pada Khamis meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027) pada peringkat dasar menerusi undian suara majoriti.
Keputusan itu diumumkan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul selepas bacaan kali kedua dibacakan oleh Setiausaha Dewan Rakyat sejurus selesai sesi penggulungan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Dewan Rakyat seterusnya bersetuju agar rang undang-undang berkenaan dirujuk ke peringkat Jawatankuasa untuk perbahasan terperinci mengikut kementerian bermula persidangan akan datang.
Terdahulu, sesi penggulungan bagi Kementerian Kewangan itu berlangsung hangat dengan beberapa isu tumpuan dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Parlimen rentas parti.
Antara yang menjadi perbahasan utama melibatkan tatakelola perbelanjaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), serta bantuan bersasar Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Isu perbelanjaan projek jalan luar bandar KKDW
Menjawab persoalan mengenai dakwaan pembatalan projek KKDW, Amir Hamzah menegaskan Kementerian Kewangan (MOF) tidak membatalkan sebarang projek Jalan Luar Bandar (JALB).
Sebaliknya, beliau berkata, MOF hanya meminta penangguhan pengeluaran Surat Setuju Terima (SST) baharu akibat komitmen belanja KKDW yang melebihi peruntukan asal.
Jelas beliau, komitmen berlebihan sejak 2023 itu mengakibatkan tunggakan bayaran kepada kontraktor mencecah RM1.05 bilion.
Bagi memastikan periuk nasi kontraktor terbela, jelasnya lagi, MOF meluluskan tambahan RM500 juta menerusi Surat Kebenaran Berbelanja Melebihi Peruntukan (SKB) pada September lalu, hasil penjimatan belanja pembangunan beberapa kementerian lain.
"MOF hanya meminta KKDW menangguhkan pengeluaran SST baharu sementara menunggu tunggakan sedia ada diselesaikan.
"Setiap tambahan kepada JALB melalui pengagihan semula mengurangkan ruang pembiayaan bagi keutamaan lain. Disiplin ini penting bagi memastikan kontraktor dibayar tanpa menjejaskan keutamaan kementerian lain," tegasnya.
Mandat simpanan persaraan KWSP
Dewan turut menyaksikan celahan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) yang mendesak kerajaan mempertimbangkan pengeluaran caruman serta dividen KWSP.
Membalas perkara itu, Amir Hamzah mengingatkan bahawa mandat asas penubuhan KWSP adalah menjamin simpanan hari tua dan bukannya dana kecemasan harian.
Beliau mendedahkan, sebanyak RM145 bilion telah dikeluarkan menerusi empat siri pengeluaran khas sewaktu pasca pandemik COVID-19 yang memberi kesan besar kepada simpanan ahli.
"Ahli aktif formal yang mencapai tahap simpanan cukup kini hanya 41 peratus. Walaupun angka ini meningkat berbanding 33 peratus sebelum ini, ia masih belum mencukupi.
“Kerajaan telah pun memberi kelonggaran menerusi Akaun Tiga (Akaun Fleksibel), namun usaha KWSP mesti terus berpaksikan mandat mencukupkan simpanan persaraan," katanya.
Peluasan manfaat STR & SARA
Menyentuh mengenai jaringan keselamatan sosial, Amir Hamzah berkata, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM16 bilion bagi inisiatif STR dan SARA, angka tertinggi dalam sejarah.
Kadar bantuan bulanan SARA ditingkatkan kepada RM150 sebulan (RM1,800 setahun) bagi penerima sedia ada, manakala penerima miskin tegar e-Kasih menerima sehingga RM250 sebulan (RM3,000 setahun).
Malah, jelasnya lagi, seramai 13 juta rakyat bukan penerima STR, termasuk golongan M40, bakal menikmati kredit SARA MADANI sebanyak RM100 dua kali setahun bermula 2027.
Menjawab kegusaran berhubung pemberian bantuan kepada golongan berkemampuan, Amir Hamzah menjelaskan instrumen bantuan tunai merupakan langkah sokongan sementara melegakan tekanan kos sara hidup.
Sementara fokus jangka panjang pula, jelasnya lagi, kerajaan adalah membina struktur ekonomi bagi menawarkan peluang pekerjaan dan gaji lebih tinggi.