PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menetapkan 8 Nov untuk keputusan rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak dan peguamnya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman mereka untuk membatalkan kelayakan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) kanan dalam perbicaraan kes mereka.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Yaacob Md Sam menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada Muhammad Shafee yang mewakili Najib dan peguam Harvinderjit Singh bertindak bagi pihak Muhammad Shafee selaku perayu dalam prosiding itu yang dijalankan secara maya melalui aplikasi Zoom.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan bertindak bagi pihak kerajaan, Peguam Negara dan Sri Ram sebagai responden.

"Keputusan bagi kedua-dua rayuan ini, kami memutuskan untuk menangguhkan keputusan bagi membolehkan kami membaca semula hujahan pihak-pihak dan kes yang dirujuk di hadapan kami.

"Kami akan menyampaikan keputusan pada 8 Nov, pukul 9.30 pagi," kata Hakim Yaacob yang bersidang bersama Hakim Datuk Lee Heng Cheong dan Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali.

Pada 28 Ogos tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman bekas Perdana Menteri dan Muhammad Shafee untuk menggugurkan bekas hakim Mahkamah Persekutuan (Sri Ram) sebagai TPR kanan dalam perbicaraan kes mereka, memutuskan bahawa pelantikan Sri Ram adalah sah di sisi undang-undang.

Najib memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk menggugurkan Sri Ram sebagai TPR kanan dalam kesnya berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada Disember 2018.

Selain mewakili Najib, Muhammad Shafee turut memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar pelantikan Sri Ram dalam perbicaraan kesnya sendiri membabitkan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta.

Mereka memohon perintah mahkamah untuk membatalkan atau menggugurkan pelantikan Sri Ram dengan menyatakan bahawa surat pelantikan itu tidak sah.

Mereka juga memohon pengisytiharan bahawa terdapat percanggahan kepentingan dalam pelantikan itu dan memohon perintah untuk melarang Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam semua kes yang dihadapi mereka, termasuk dalam kes rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram.

-- BERNAMA