KANGAR: Setakat ini 80 rumah dikenal pasti mengalami kerosakan akibat kejadian ribut di beberapa tempat di Perlis sejak dua hari lepas.

Pegawai Penyelaras Zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Mohd Radzi Ahmad Rahim yang mengesahkan angka itu berkata jumlahnya mungkin akan bertambah berdasarkan laporan-laporan kerosakan yang masih terus diterima pihaknya sehingga kini.

Beliau berkata antara kawasan yang dilaporkan dilanda ribut adalah sekitar Kuala Perlis, Kampung Sungai Padang, Padang Keria, dan Beseri.

Sehubungan itu beliau meminta mangsa supaya membuat laporan dan memberikan maklumat kepada agensi serta ketua masyarakat bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil segera bagi membantu mereka yang terjejas akibat kejadian.

Seorang mangsa yang ditemui di Kampung Batu 2, Padang Keria; Hasni Safar, 50, berkata kejadian berlaku semasa dia sedang menyediakan juadah cucur udang di bahagian dapur semalam, apabila dia dikejutkan dengan bunyi kuat angin dan bumbung rumah secara tiba-tiba diterbangkan ribut.

Katanya dalam keadaan terkejut beliau hanya dapat melaungkan azan sewaktu melihat bumbung rumahnya ditiup angin kencang dalam kejadian pada pukul 7.40 malam itu.

"Apabila saya tengok ke bahagian atas sebahagian bumbung rumah telah diterbangkan angin dan saya terus melaungkan azan sekuat hati," kata ibu kepada tujuh orang anak itu kepada Bernama di sini hari ini.

Suri rumah itu berkata mereka sekeluarga terpaksa tidur beralaskan kain dalam keadaan basah berikutan daripada kerosakan bumbung yang dialami berkenaan.

Seorang lagi mangsa di Kampung Sungai Padang di sini, Busu Abu Bakar, 70, berkata, dia sedang bersiap sedia untuk menunaikan solat Maghrib sekitar pukul 7.15 malam petang apabila terdengar bunyi angin kuat sebelum melihat bumbung rumahnya diterbangkan angin ke arah sawah padi bersebelahan rumah kediamannya.

Pesawah itu bagaimanapun bersyukur kerana tiada sesiapa daripada mereka lima beranak yang tinggal di rumah itu tercedera akibat kejadian.

-- BERNAMA