Ringkasan AI
- China dan Singapura bersetuju mempercepat rundingan menaik taraf Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) kepada versi 4.0 untuk meningkatkan keterbukaan dua hala.
- Kedua-dua negara komited memperkukuh kerjasama dalam bidang seperti kecerdasan buatan, tenaga bersih, kesalinghubungan, kewangan dan memperluas pertukaran rakyat serta kebudayaan.
- China menyokong Singapura mengambil alih Kepengerusian ASEAN tahun depan dan bekerjasama melaksanakan Protokol Naik Taraf Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN 3.0.
BEIJING: China bersedia bekerjasama dengan Singapura untuk mempercepat rundingan menaik taraf Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) China-Singapura kepada versi 4.0 dan menggalakkan keterbukaan dua hala pada tahap lebih tinggi, kata Perdana Menteri China Li Qiang pada Sabtu, lapor Xinhua.
Li berkata demikian ketika mengadakan rundingan dengan Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong di Beijing.
Li berkata China bersedia memperkukuh komunikasi strategik dengan Singapura, mengukuhkan kepercayaan politik bersama, saling menyokong dalam isu yang melibatkan kepentingan teras dan kebimbangan utama masing-masing serta memperluas kerjasama praktikal.
Beliau berkata kedua-dua pihak perlu berusaha mencapai lebih banyak kejayaan dalam perkongsian menyeluruh yang berkualiti tinggi dan berorientasikan masa depan serta terus meningkatkan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara.
Li menggesa kedua-dua pihak memperkukuh pengintegrasian industri, menaik taraf projek kerjasama utama antara kerajaan kedua-dua negara serta memperdalam kerjasama dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI), tenaga bersih, kesalinghubungan dan kewangan.
Beliau berkata kedua-dua negara juga perlu memajukan pembangunan Koridor Perdagangan Darat-Laut Antarabangsa Baharu bagi menyuntik momentum baharu kepada pembangunan masing-masing.
Menyedari bahawa China dan Singapura mempunyai pendekatan yang hampir sama dalam tadbir urus sosial serta berdepan banyak cabaran bersama, Li menggesa peningkatan pertukaran dan pembelajaran bersama bagi menangani penuaan penduduk, menggalakkan pembangunan seimbang dan menambah baik perkhidmatan awam.
Beliau turut menggesa kedua-dua pihak memperluas kerjasama antara rakyat dan kebudayaan dalam bidang seperti pelancongan, kebudayaan serta pertukaran belia.
Li berkata China dan Singapura perlu mempererat penyelarasan dan kerjasama dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) serta rangka kerja lain yang berkaitan, selain memperkukuh usaha menggalakkan integrasi ekonomi serantau.
Kedua-dua negara juga perlu memajukan pembentukan ekonomi dunia yang terbuka, mempertahankan sistem perdagangan pelbagai hala serta melindungi kepentingan bersama, katanya.
Li berkata China menyokong Singapura mengambil alih Kepengerusian ASEAN secara bergilir pada tahun depan dan bersedia bekerjasama dengan republik itu bagi menggalakkan semua pihak melaksanakan Protokol Naik Taraf Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN 3.0 dengan berkesan.
Sementara itu, Wong mengucapkan tahniah kepada China atas kejayaan menganjurkan Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC di Shenzhen.
Beliau berkata Singapura dan China telah membina perkongsian kukuh berasaskan kepercayaan bersama yang mendalam sejak beberapa dekad lalu.
Wong berkata Singapura berharap dapat mengekalkan pertukaran peringkat tinggi yang lebih erat dengan China, memperkukuh penyelarasan strategi pembangunan, memperdalam kerjasama dalam bidang seperti AI, ekonomi digital, tenaga hijau dan kesalinghubungan serta meningkatkan pertukaran antara rakyat dan kebudayaan.
Beliau berkata Singapura bersedia bekerjasama dengan China untuk mencapai lebih banyak hasil dalam perkongsian menyeluruh yang berkualiti tinggi dan berorientasikan masa depan antara kedua-dua negara.
Wong berkata Singapura menyokong visi pembentukan komuniti yang berkongsi masa depan untuk umat manusia serta empat inisiatif global yang dicadangkan oleh Presiden China Xi Jinping.
Beliau turut menghargai kepimpinan China dalam mengekalkan keamanan dunia serta menggalakkan keterbukaan dan pembangunan.
-- BERNAMA-XINHUA