PUTRAJAYA:Kes COVID-19 terus menunjukkan trend membimbangkan apabila 871 kes positif dicatatkan pada Ahad, tertinggi dalam sejarah penularan virus itu dalam negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes positif di Malaysia kini sudah melepasi angka 20,000 dengan 20,498 kes direkodkan sehingga kini.

Jumlah kes terbaru itu menyaksikan ia mengatasi rekod jumlah kes tertinggi yang dicatatkan semalam iaitu sebanyak 869 kes.

BACA: COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemas kini setiap hari)

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 7,049 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

“Secara keseluruhan, sebanyak 97 kes (11.1 peratus) pada hari ini adalah daripada Kluster Tembok, Kluster Penjara Reman, Kluster Penjara Seberang Perai dan Kluster Penjara Kepayan.

“Kes-kes ini sememangnya terasing di dalam penjara dan tidak menjangkiti masyarakat. Manakala, negeri-negeri di Lembah Klang pula merangkumi 9.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya pada sidang media berkaitan COVID-19 di sini pada Ahad.

Tambah beliau, Negeri Sabah terus mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 702 kes (80.6 peratus) memandangkan lebih ramai individu telah disaring di lapangan.

“Sejak bermulanya pandemik, sejumlah 251,030 individu telah disaring di negeri Sabah.

“Daripada 871 kes direkodkan, 866 kes melibatkan penularan tempatan manakala selebihnya adalah kes import,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan Malaysia mencatatkan bilangan kes pulih COVID-19 yang tertinggi iaitu sebanyak 701 kes pada Ahad.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah 13,262 kes (64.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” katanya.

Pecahan kes yang telah pulih COVID-19 mengikut negeri adalah seperti berikut: