PUTRAJAYA: Sebanyak 97.78 peratus daripada 361 syarikat produksi yang menggajikan pelakon kanak-kanak dan orang muda dalam filem serta drama tidak melakukan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, Kajian Penggajian Pelakon Kanak-Kanak dan Orang Muda Dalam Filem dan Drama juga menunjukkan hanya 2.22 peratus syarikat produksi berbuat demikian.

"Ia menunjukkan tiada kesedaran di pihak syarikat produksi selain melihat pelakon kanak-kanak dan orang muda itu sebagai bukan pencari nafkah keluarga.

"Kekuatan dan akta dalam konteks ini perlu dipertingkatkan," katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Laporan Kajian Penggajian Pelakon Kanak-Kanak dan Orang Muda Dalam Filem dan Drama di sini hari ini.

Menurutnya, sebanyak 73.13 peratus syarikat produksi juga tidak mengetahui mengenai keperluan untuk mendapatkan lesen permit hiburan awam daripada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).

"Hanya 4.16 peratus sahaja yang menyedari kepentingan lesen berkenaan manakala 22.71 peratus lagi tidak pasti," ujar beliau.

Beliau berkata, sebanyak 52.91 peratus syarikat produksi tidak pernah memohon lesen terbabit manakala 47.09 peratus lagi tidak pasti.

"Sejumlah 63.43 peratus responden setuju bahawa aktiviti pendidikan perburuhan perlu ditingkatkan agar kesedaran mengenai perkara itu dapat dipertingkatkan," ujarnya.

Mohd Uzir berkata, tiga kumpulan umur tertinggi pelakon kanak-kanak dan orang muda merangkumi 32.69 peratus usia 15 hingga 17 tahun 11 bulan dan 32.41 peratus berusia antara 13 hingga 14 tahun 11 bulan.

"Sebanyak 24.65 peratus kanak-kanak berusia lima tahun 11 bulan sehingga 12 tahun 11 bulan menjadi pelakon," katanya.

Tambah beliau, ibu merupakan golongan tertinggi penerima pembayaran bagi pihak kanak-kanak dan pelakon muda iaitu sebanyak 50.42 peratus.

"Peratusan bapa sebagai penerima pula adalah 18.84 peratus manakala 14.40 peratus oleh penjaga," kata Mohd Uzir.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan Buku Kajian Diaspora Malaysia di Brunei yang menunjukkan 68 peratus dalam kalangan mereka adalah pekerja mahir dan 24.1 peratus adalah pekerja separa mahir.

"(Sebanyak) 50 peratus diaspora berada di Brunei kerana bekerja manakala 50 peratus lagi bagi tujuan lain iaitu seperti berkahwin dengan warga Brunei (39.4 peratus), urusan keluarga (31.6 peratus), mengikut pasangan bekerja (23.1 peratus) dan menjalankan perniagaan (16.4 peratus)," katanya.

Bagi penggajian pula, sebanyak 4.8 peratus diaspora menerima gaji kasar bulanan antara BND10,001 sehingga BND15,000.

Kumpulan tangga gaji yang tertinggi diperoleh mereka adalah lingkungan BND3,001 sehingga BDN10,000 dengan sebanyak 43.5 peratus.

Dapatan utama kajian tersebut turut menunjukkan 75.6 peratus diaspora akan terus bekerja di negara tersebut.

Ia disokong oleh lima faktor iaitu gaji yang lebih lumayan, persekitaran kerja lebih baik, kadar pertukaran wang BND tinggi, ahli keluarga ada bersama selain pekerjaan yang stabil. - Sinar Harian