Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memberi jaminan bahawa beliau akan meneruskan dasar meringankan beban kos sara hidup rakyat negeri ini seperti dilakukan bekas Ketua Menteri Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.

Abang Johari berkata kerajaan Sarawak di bawah pimpinan beliau akan mengekalkan kadar pengurangan cukai rumah, penghapusan tol dan pengurangan tarif elektrik serta menurunkan tambang feri kepada RM1 yang dilaksanakan semasa era Tok Nan.

"Saya akan meneruskan dasar ini selagi saya menjadi Ketua Menteri Sarawak," katanya ketika berucap merasmikan Malam Harmoni bertemakan "United We Stand" anjuran Jabatan Penerangan Sarawak di Kota Sentosa Square di sini pada Sabtu.

Beliau seterusnya berkata kerajaan negeri akan terus mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) serta pengunaan bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin.

Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri akan terus mengiktiraf sekolah kebangsaan bantuan bahasa Cina dan pada majlis itu, beliau mengumumkan peruntukan RM7 juta bagi sekolah-sekolah berkenaan di Sarawak.

Jumlah itu adalah pertambahan RM1 juta daripada yang diperuntukkan pada tahun lepas.

Abang Johari berkata bahasa Mandarin adalah penting kerana ia merupakan bahasa perdagangan, khususnya ketika negeri ini sedang mempertingkatkan perdagangannya dengan China.

Menyentuh berhubung keharmonian, beliau berkata semangat itu sudah sekian lama dipraktikkan rakyat pelbagai kaum dan agama di negeri ini, dan seharusnya dikekalkan.

Mengenai pembangunan di Sarawak, beliau mahu semua pemimpin negeri ini lebih kreatif dan bekerjasama membangunkan negeri ini ke tahap yang lebih tinggi.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak Datuk Dr Sim Kui Hian.

-- BERNAMA