KUCHING: Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkongsi formula keharmonian agama dan kaum negeri itu pada sesi libat urus Majlis Dakwah Islamiah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) Zon Selatan di Auckland, New Zealand pada Isnin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Premier Sarawak, beliau berkata formula itu perlu dikongsi dengan komuniti lain di luar negeri berkenaan sebagai asas untuk mewujudkan dunia yang lebih baik dengan hubungan antara agama dan kaum yang sihat.

"Penghormatan mesti diberikan kepada kaum dan agama lain kerana ia hanya diperoleh dalam pembangunan agama dan kaum yang inklusif," katanya pada sesi yang dihadiri anggota RISEAP dari Australia, New Zealand, Fiji, Papua New Guinea, Vanuatu, Tonga, New Caledonia dan Samoa Barat.

Lawatan Abang Johari ke New Zealand merupakan kunjungan pertama ke negara anggota sejak dilantik sebagai Presiden RISEAP Januari lepas.

Beliau berkata sebagai pemimpin beragama Islam yang ditugaskan untuk mentadbir dan membangunkan sebuah negara berbilang agama dan kaum, beliau bertanggungjawab untuk memastikan pentadbirannya adalah inklusif dan melindungi hak dan kepentingan semua kaum dan agama, berdasarkan lima prinsip "Maqasid Syariah" di Sarawak.

Menurut beliau, menjadi kewajipannya untuk memastikan agama lain selain Islam diberi peluang selari untuk berkembang maju berdasarkan lima prinsip itu iaitu perlindungan nyawa, perlindungan harta, perlindungan kesihatan, perlindungan agama dan perlindungan maruah.

Abang Johari berkata di Sarawak, Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) dibentuk bagi memastikan agama lain mempunyai tempat ibadat yang bersesuaian dan untuk tujuan itu, sebanyak RM100 juta diperuntukkan.

Beliau berkata pembiayaan turut diberi kepada sekolah mubaligh untuk tujuan operasi, terutamanya ketika pandemik COVID-19.

Katanya, pembangunan masyarakat Islam juga mesti disesuaikan dengan perubahan teknologi yang pantas pada era ini dan inisiatif ke arah menangani perubahan iklim dan kelestarian.

Untuk itu, Abang Johari berkata Sarawak di bawah kepimpinannya memperkenalkan ekonomi digital, hidrogen dan hijau, peningkatan penyelidikan dan pelbagai inisiatif menangani perubahan iklim seperti Penggunaan dan Penyimpanan Tangkapan Karbon (CCUS) dan perdagangan karbon.

Beliau berkata tumpuan pendidikan dan pembangunan bakat juga merupakan satu lagi pendekatan penting dengan lima sekolah antarabangsa berdasarkan sukatan pelajaran Cambridge dan satu sekolah antarabangsa Islam sedang ditubuhkan di Sarawak untuk memastikan kedudukan global negeri dalam pendidikan.

RISEAP, kini dengan 24 negara anggota ditubuhkan pada 1980 dengan bekas Perdana Menteri Malaysia pertama Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj sebagai presidennya, terutama untuk menyatukan negara minoriti Islam di Asia Timur dan Pasifik mengejar cita-cita kolektif dalam pengembangan dan perjuangan Islam.

-- BERNAMA