Perdana Menteri Australia Tony Abbott tiba dengan pesawat khas Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada pukul 6.40 pagi dan disambut oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi.

Dalam lawatan sulung ke Malaysia susulan pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Australia pada 18 September tahun lepas, Abbott akan mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membuat penilaian terhadap perkembangan kerjasama dua hala sedia ada antara Malaysia-Australia.

Menurut kenyataan Kementerian Luar, Abbott, diiringi Najib, akan bertemu pasukan dari Malaysia yang terbabit dalam operasi mencari MH370 dan MH17 untuk merakamkan penghargaan terhadap tugas yang mereka laksanakan.

Penerbangan MH370 hilang daripada radar pada 8 Mac ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal.

Pesawat Boeing 777 itu masih belum ditemui walaupun pencarian besar-besaran telah dilakukan di selatan Lautan Hindi di mana penerbangan pesawat itu dipercayai berakhir.

Usaha baharu pencarian telah dilakukan untuk mengesan pesawat itu apabila kerajaan Malaysia dan Australia menandatangani memorandum persefahaman bulan lepas.

Pesawat penerbangan MH17 pula terhempas di timur Ukraine ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke KL dengan 283 penumpang dan 15 anak kapal.

Boeing 777-200 itu dipercayai ditembak jatuh di negara bergolak berkenaan. Rakyat Malaysia, melibatkan penumpang dan anak kapal, serta warga Australia dan beberapa negara lain berada dalam kedua-dua penerbangan itu.

Kedua-dua Perdana Menteri akan turut bertukar-tukar pandangan dalam isu serantau dan antarabangsa melibatkan kepentingan bersama.

Kata kenyataan itu, lawatan berkenaan nanti akan terus memperkukuhkan lagi hubungan akrab dan istimewa sedia ada antara kedua-dua negara.

Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Australia yang bermula pada 1957, hubungan antara kedua-dua negara sangat baik dan bertenaga.

Ia terus dipertingkatkan menerusi pelbagai bentuk kerjasama terutamanya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pendidikan, pertahanan, keselamatan serta hubungan rakyat.

Upacara sambutan meraikan ketibaan Abbott akan diadakan di Dataran Perdana Putrajaya.

Beliau juga dijadual menghadiri majlis rasmi jamuan tengah hari di kediaman Perdana Menteri di Seri Perdana, juga di Putrajaya.