Allahyarham Tengku Datuk Abdul Ghafar Mohamed yang memainkan peranan penting dalam rundingan antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) adalah seorang yang gigih dan berdedikasi dalam usaha mencari keamanan di Mindanao.

Jurucakap pejabat Perdana Menteri berkata fasilitator Malaysia dalam perjanjian damai yang meninggal dunia hari ini, adalah seseorang yang tidak pernah mengenal erti jemu untuk mendepani cabaran dan kegagalan.

"Kegigihan dan usahanya yang tidak henti-henti untuk mencari keamanan walaupun menghadapi kesukaran dan cabaran mendapat penghargaan daripada kerajaan Filipina dan Bangsamoro serta masyarakat antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Tengku Abdul Ghafar yang menjadi fasilitator pada 2010 memainkan peranan penti

Sumbangan terakhir beliau ialah pelancaran rasmi peringkat pelaksanaan proses damai Mindanao antara kerajaan Filipina dan MILF pada 13 Ogos 2016 yang mencapai kejayaan, katanya.

"Beliau adalah seorang yang mempunyai wawasan dan aspirasi dalam usaha mencari perjanjian yang adil bagi kerajaan Filipina dan Bangsamoros. Malaysia telah kehilangan seorang pemimpin yang mengorbankan sebahagian besar hidupnya kepada perkhidmatan awam," katanya.

Bekas timbalan ketua pengarah Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri dan setiausaha Majlis Keselamatan Negara meninggal dunia di rumahnya di Bangsar South pada 9 pagi tadi ketika berusia 67 tahun.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Datin Homeira Babarnarchi dan tiga orang anak, Tengku Shila, Tengku Shariar dan Tengku Shahpur.

Tengku Abdul Ghafar pernah berkhidmat di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad dan Kedutaan Malaysia di Manila dan Bangkok.