KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Berjaya Corporation Bhd (BCorp), Abdul Jalil Abdul Rasheed didakwa akan meletakkan jawatan untuk kembali mengejar minatnya dalam bidang pelaburan.

Memetik laporan portal The Edge Market, beberapa sumber berkata, bekas Presiden dan Ketua Eksekutif Permodalan Nasional Bhd (PNB) yang baharu genap setahun menerajui BCorp pada 16 Mac lalu itu sedang mempertimbangkan perkara berkenaan.

Menerusi ciapan terbaharunya di Twitter pada Jumaat, Abdul Jalil berkata, keutamaan dalam hidupnya benar-benar berubah apabila dirinya positif COVID-19 dan menghabiskan masa dengan anak-anak di rumah tanpa gangguan.


"Anak-anak memberitahu saya mereka suka saya berada di rumah dan saya lebih tenang. Kadang-kadang kita terlalu sibuk dan terlepas perkara penting dalam hidup.

"Hari ini saya menjemput mereka dari sekolah. Sesuatu yang saya kerap lakukan di Singapura tetapi tidak begitu kerap di sini," ciapnya.


Abdul Jalil sebelum ini menjadi ahli 'bukan keluarga' pertama yang menjalankan empayar perniagaan Tan Sri Vincent Tan selaku pengasas BCorp.

Selepas berkhidmat di BCorp, Abdul Jalil mengemukakan pelan strategik tiga tahun untuk menyusun semula Kumpulan Berjaya kepada lima bidang perniagaan utama, yang terdiri daripada peruncitan, makanan dan minuman, hartanah, hospitaliti dan perkhidmatan termasuk permainan, persekitaran, teknologi digital dan kewangan.

Beliau juga mengumumkan rancangan untuk melupuskan kira-kira RM5 bilion aset bukan teras BCorp dalam tempoh lima tahun akan datang dan mahu mengurangkan separuh hutang sebanyak RM5 bilion dalam tiga tahun.

Kemudian, kumpulan itu mula melupuskan beberapa aset bukan teras termasuk pegangan dalam syarikat bersekutu Razer Fintech Holdings Ltd dan perniagaan pendidikan Berjaya Higher Education Sdn Bhd dan yang terkini berjaya memiliki Kolej Universiti Berjaya.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Disember lalu, kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih RM41.7 juta, berbanding kerugian bersih RM108.66 juta dalam tempoh yang sama setahun sebelumnya dengan pendapatan RM3.44 bilion iaitu turun 11.4 peratus daripada RM3.88 bilion sebelumnya.


*Berita asal di Sinar Harian