Bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memfailkan permohonan untuk membatalkan saman gantirugi yang difailkan oleh Puncak Niaga Holdings Bhd (Puncak Niaga) terhadap beliau dan dua yang lain, berhubung penstrukturan semula industri air di Selangor.

Peguam New Sin Yew yang mewakili Abdul Khalid berkata notis permohonan itu difailkan oleh pihaknya semalam.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri pengurusan kes saman tersebut di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir, di sini hari ini.

Puncak Niaga diwakili peguam Lau Mark Chi-Ming sementara peguam Latheefa Koya hadir bagi pihak Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang turut dinamakan sebagai defendan dalam tuntutan saman itu.

New berkata dalam prosiding di dalam kamar itu, Hakim Akhtar menetapkan 12 Dis depan untuk Puncak Niaga memfailkan afidavit balasan seterusnya 23 Jan tahun depan ditetapkan untuk keputusan atau klarifikasi berhubung permohonan tersebut.

Katanya mahkamah turut menetapkan selama tiga hari bermula 28 Mac tahun depan untuk perbicaraan kes saman berkenaan dan menetapkan 12 Feb tahun depan untuk pengurusan kes.

Dalam permohonan itu Abdul Khalid antara lain menyatakan beliau percaya bahawa tindakan plaintif (Puncak Niaga) terhadapnya adalah atas dakwaan 'salah guna jawatan awam'.

Bekas menteri besar itu mendakwa bahawa pada setiap masa material beliau bukan seorang 'pegawai awam' di bawah undang-undang relevan seperti Akta Prosiding Kerajaan 1956, Akta Tafsiran 1948

Abdul Khalid mendakwa tuntutan plaintif tidak mendedahkan sebarang kausa tindakan yang munasabah, remeh atau menyusahkan dan suatu penyalahgunaan proses mahkamah kerana beliau telah menamatkan tugas sebagai menteri besar Selangor pada 23 Sept 2014.

Oleh demikian, beliau mendakwa tindakan Puncak Niaga terhadap beliau telah dihalang oleh had masa kerana ia telah difailkan melebihi 36 bulan selepas beliau meletak jawatan sebagai menteri besar.

Selain daripada itu, katanya, pada setiap masa plaintif terikat dengan terma-terma Perjanjian Jual Beli yang disebutkan dalam pernyataan tuntutan dan beliau bukan satu pihak kepada Perjanjian Jual Beli tersebut serta tidak 'privy' kepada perjanjian berkenaan.

"Saya sesungguhnya percaya bahawa plaintif tidak boleh gunakan tindakan ini untuk mengelakkan tanggungjawab-tanggungjawabnya di bawah Perjanjian Jual Beli itu. Dalam itu, perlu ditekankan di sini bahawa plaintif tidak menuntut supaya perjanjian berkenaan dielakkan atau adalah tidak terikat dari mula di bawah peruntukan-peruntukan Akta Kontrak 1960.

"Tiada mana-mana daripada pliding dalam pernyataan tuntutan tersebut mendedahkan mana-mana keadaan yang boleh dibangkitkan oleh plaintif untuk membatalkan perjanjian jual beli itu atas dasar paksaan atau perkara-perkara lain di bawah Akta Kontrak 1960," demikian menurut beliau dalam permohonan itu.

Dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia pada 21 Nov lepas, Puncak Niaga menyatakan peguam syarikat itu telah menyerahkan saman berserta kenyataan tuntutan bertarikh 27 Okt lepas kepada Abdul Khalid, Mohamed Azmin dan Kerajaan Negeri Selangor yang turut dinamakan sebagai defendan.

Menurut kenyataan itu, tindakan saman difailkan terhadap ketiga-tiga defendan termasuk kerajaan Selangor yang juga bertanggungjawab terhadap perbuatan Abdul Khalid dan Mohamed Azmin yang didakwa menyalahgunakan kuasa mereka.

Ia mendakwa Abdul Khalid dan Mohamed Azmin menyalahgunakan kuasa mereka dengan mengancam untuk menyebab atau memohon atau cubaan untuk menyebabkan Kerajaan Persekutuan menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006 bagi memaksa pengambilalihan industri perkhidmatan air di Selangor.

Sehubungan itu, menurut kenyataan tersebut, Puncak Niaga menuntut ganti rugi, faedah ke atas ganti rugi dan kos berhubung perbezaan antara nilai PNSB Water Sdn. Bhd. (dahulu dikenali sebagai Puncak Niaga (M) Sdn Bhd) dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) pada kadar RM2.08 bilion hingga RM2.35 bilion.

Selain itu plaintif menuntut pertimbangan pembelian sebenar berjumlah RM1.55 bilion di bawah Perjanjian Pembelian Saham bertarikh 11 Nov 2014 antara Puncak Niaga dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd.

Pada masa sama, Puncak Niaga juga menuntut gantirugi, faedah ke atas gantirugi dan kos berhubung kehilangan peluang perniagaan di dalam dan di luar negara, berjumlah RM13.5 bilion.

-- BERNAMA