ABIM sokong cadangan KKM haramkan vape, desak pelaksanaan disegerakan

Muhamad Aliemran berkata pengharaman vape selari dengan saranan WHO dan Malaysia wajar mencontohi negara seperti Australia, Thailand dan India yang telah melaksanakan larangan penuh terhadap vape. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyokong cadangan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membentangkan Memorandum Jemaah Menteri bagi mempertimbangkan pengharaman sepenuhnya produk rokok elektronik atau vape di negara ini.
Setiausaha Agung ABIM Muhamad Aliemran Norasid berkata langkah itu merupakan tindakan tegas dan bertanggungjawab demi melindungi kesihatan awam, khususnya generasi muda yang semakin terdedah kepada risiko ketagihan nikotin.
Beliau berkata langkah itu sejajar dengan data KKM yang menunjukkan peningkatan kes penyakit paru-paru berkaitan vape (EVALI), selain dijangka menyebabkan kos rawatan mencecah RM400 juta menjelang 2030.
"ABIM melihat larangan penuh terhadap vape sebagai pelaburan masa depan dalam membina generasi yang bebas daripada ketagihan, mempunyai daya tahan moral, berfikiran kritikal dan sejahtera dalam membuat keputusan hidup," katanya dalam kenyataan hari ini.Muhamad Aliemran berkata ABIM menyeru Jemaah Menteri menyokong penuh memorandum yang akan dibentangkan KKM tanpa penangguhan politik atau tekanan industri serta menyegerakan pengharaman rokok elektronik.
Beliau berkata pertubuhan itu turut menggesa kerajaan menyediakan pelan sokongan menyeluruh termasuk pendidikan awam, rawatan ketagihan dan penguatkuasaan bersepadu melibatkan pelbagai pihak.
Muhamad Aliemran berkata pengharaman vape selari dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Malaysia wajar mencontohi negara seperti Australia, Thailand dan India yang telah melaksanakan larangan penuh terhadap vape.
"Sebagai organisasi masyarakat MADANI yang memperjuangkan kesejahteraan umat dan nilai hidup sihat berteraskan Islam, ABIM percaya melindungi kesihatan rakyat adalah tuntutan syarak dan amanah kepimpinan," katanya.
Semalam, media melaporkan KKM akan mengemukakan Memorandum Jemaah Menteri kepada Kabinet bagi mempertimbangkan pengharaman sepenuhnya penggunaan rokok elektronik atau vape tahun ini.
Tanpa memperincikan bila jangkaan memorandum itu dibentangkan, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata ia bertujuan membolehkan KKM mendapat persetujuan dasar bagi pelaksanaan pengharaman penuh vape di negara ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami