Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed menerima anugerah kehormat Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) bersempena konvokesyen program itu kali ketujuh hari ini.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar dan disaksikan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.

Selain Abu Kassim, yang menerima anugerah kehormat berkenaan, seramai 158 pegawai integriti dari pelbagai organisasi kerajaan turut menerima pentauliahan mereka pada majlis ini yang diadakan di Dewan Perdana Mestika, Institut Latihan Dewan Bandaraya, Bandar Tun Razak, Cheras, di sini.

Ismail berkata, program ini menempatkan pegawai integriti bertauliah di dalam organisasi awam dan GLC sebagai satu daripada usaha pemantapan sistem pengurusan pentadbiran organisasi.

"SPRM menyediakan modul dan prasarana latihan bukan sahaja kepada penjawat awam malahan untuk badan-badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"CeIO mampu meningkatkan keupayaan sesebuah organisasi menjadi organisasi kelas pertama kerana mereka dilatih untuk menjamin standard dan kualiti yang meletakkan integriti mereka pada kedudukan tinggi dalam sesebuah organisai," katanya ketika berucap pada majlis itu.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Shamshun Baharin Mohd Jamil.

-- BERNAMA