MALAYSIA
ACCCIM gesa tangguh peluasan SST kepada Januari 2026, cadang kadar 4 peratus hingga 2027

ACCCIM turut menggesa kerajaan untuk mengurangkan peluasan SST kepada kadar lebih rendah sebanyak empat peratus dalam tempoh dua tahun pertama (2026-2027) bagi meringankan beban cukai terhadap perniagaan dan pengguna. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa untuk menangguhkan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diperluaskan, daripada 1 Julai 2025 kepada Januari 2026 untuk memberikan lebih banyak masa persediaan berikutan beberapa aspek yang masih memerlukan penjelasan, kata Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM).
Ringkasan AI
- ACCCIM menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan SST yang diperluaskan dari 1 Julai 2025 ke Januari 2026 bagi memberi lebih masa persediaan, serta mencadangkan kadar SST dikurangkan kepada empat peratus bagi dua tahun pertama.
- Peluasan SST melibatkan perkhidmatan tambahan seperti kesihatan dan kewangan serta perkhidmatan baharu seperti penyewaan, pembinaan dan pendidikan; ACCCIM turut mencadangkan ambang pendaftaran dan pengecualian cukai dinaikkan.
- ACCCIM menyarankan tempoh pengecualian lebih panjang untuk kontrak tidak boleh disemak dan akan terus mengadakan libat urus dengan pihak industri bagi mengurangkan kesan SST terhadap perniagaan dan isi rumah.
"Persediaan mencukupi adalah penting untuk memastikan pematuhan yang lebih baik dan pelaksanaan yang lancar," katanya sambil berkongsi kebimbangan mengenai pelbagai kenaikan kos yang seiring keadaan ekonomi global dan domestik yang mencabar serta ketidaktentuan dasar tarif perdagangan dan konflik berterusan di Timur Tengah.
"Kesan kenaikan kos yang telah dirasai pada 2025, dijangka berterusan atau mempengaruhi landskap perniagaan dan ekonomi pada 2026," katanya.
Sementara itu, ACCCIM menggesa kerajaan untuk menaikkan ambang pendaftaran Cukai Perkhidmatan ke atas pajakan atau penyewaan serta perkhidmatan pembinaan kepada RM3 juta daripada RM1 juta.
Ia turut menyarankan kerajaan untuk menaikkan ambang pengecualian cukai bagi penyewa perusahaan kecil dan sederhana kepada RM2 juta dalam jualan tahunan daripada RM1 juta yang diumumkan pada Khamis.
"Kami turut mencadangkan tempoh pengecualian yang lebih panjang selama 36 bulan untuk kontrak yang tidak boleh disemak dan boleh disemak, supaya merangkumi semua kategori projek berikutan ciri projek dan kitarannya," katanya.
ACCCIM berkata ia akan terus mengadakan libat urus dengan ahli dan pihak berkepentingan industri untuk memberikan maklum balas konstruktif dan penyelesaian kepada kerajaan bagi mengurangkan kesan SST terhadap perniagaan dan isi rumah.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami