Skip to main content

Malaysia

ACT+1 garis empat resolusi pendidikan dalam era AI

Fouzi berkata resolusi itu ditandatangani pemimpin organisasi kesatuan dan persatuan guru dari sembilan negara pada 25 Okt di Singapura. - Gambar fail
Fouzi berkata resolusi itu ditandatangani pemimpin organisasi kesatuan dan persatuan guru dari sembilan negara pada 25 Okt di Singapura. - Gambar fail

Advertisement

KUALA LUMPUR: Konvensyen Majlis Guru-Guru ASEAN + Korea (ACT+1) ke-40 menerima pakai empat resolusi antaranya menegaskan peranan guru sebagai peneraju pengajaran dan pembelajaran dalam era kecerdasan buatan (AI) dan kepentingan hubungan kemanusiaan dalam pendidikan.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Fouzi Singon dalam kenyataan hari ini berkata resolusi itu ditandatangani pemimpin organisasi kesatuan dan persatuan guru dari sembilan negara pada 25 Okt di Singapura.

Konvensyen bertemakan Navigating Our Future: Steered by Teachers, Anchored in Relationships,  Propelled by AI itu berlangsung dari 22 hingga 25 Okt menghimpunkan 870 guru dari Brunei, Kemboja, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam dan Korea Selatan.

Fouzi berkata resolusi pertama menekankan guru mesti kekal sebagai peneraju utama dalam menentukan hala tuju pengajaran dan pembelajaran, dan AI berfungsi sebagai alat sokongan, bukannya mengambil alih kuasa profesional guru dalam membuat keputusan pedagogi.

“Guru berkelayakan mempunyai kuasa profesional untuk menetapkan matlamat pembelajaran, menyusun urutan pembelajaran, mereka bentuk pentaksiran dan membuat pertimbangan pengajaran. Penggunaan AI hendaklah tertakluk kepada batasan ditentukan oleh guru selain memastikan hak harta intelek guru dipelihara,” katanya.

Beliau berkata resolusi itu juga menyeru kerajaan negara peserta memberikan masa profesional mencukupi untuk merancang pengajaran berasaskan AI serta melibatkan guru dalam keputusan berkaitan teknologi pada peringkat sekolah dan sistem pendidikan.

Resolusi kedua, Fouzi berkata menekankan penggunaan AI harus memperkukuh hubungan antara guru dengan murid dan bukannya menggantikan interaksi, empati serta keprihatinan manusia dalam pendidikan.

“Setiap keputusan untuk memperkenalkan AI dalam bilik darjah perlu dinilai berdasarkan kesannya terhadap interaksi sebenar antara guru dan murid. Teknologi yang mengurangkan interaksi tersebut hendaklah ditolak atau ditambah baik sebelum digunakan,” katanya.

Beliau berkata resolusi ketiga menegaskan AI perlu dimanfaatkan untuk mengurangkan beban tugas berulang, meningkatkan produktiviti serta memberikan lebih banyak masa kepada guru bagi memberi tumpuan kepada pengajaran dan hubungan dengan murid.

Fouzi berkata kerajaan, badan ASEAN dan Pertubuhan Menteri-Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO) juga diseru menangani jurang digital dengan memastikan akses yang adil kepada infrastruktur, peranti dan sambungan Internet, khususnya di kawasan luar bandar, pedalaman dan komuniti kurang mendapat kemudahan.

Bagi resolusi keempat, beliau berkata ia menekankan penggunaan kecerdasan buatan dalam pendidikan perlu berlandaskan prinsip etika, keadilan, privasi, ketelusan dan akauntabiliti.

“Tadbir urus yang jelas diperlukan bagi memastikan teknologi digunakan secara selamat dan tidak menjejaskan hak murid atau autonomi profesional guru,” katanya.

Fouzi berkata guru tidak boleh dipertanggungjawabkan secara bersendirian terhadap masalah yang berpunca daripada kesilapan, bias atau kecacatan sistem AI dengan kerajaan, pihak berkuasa pendidikan, pembangun dan penyedia teknologi perlu melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Dalam pada itu, beliau berkata selaku wakil Malaysia, NUTP menghantar 103 guru yang juga ahlinya untuk menyertai konvensyen tersebut. 

NUTP turut membentangkan laporan bertajuk Beyond AI-Driven Learning: Teacher Agency in AI-Supported Pedagogy yang meneliti penggunaan AI dalam amalan pengajaran guru, khususnya dari aspek autonomi profesional, pertimbangan pedagogi serta peluang dan cabaran penggunaan teknologi dalam pendidikan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement