Terdapat ibu bapa yang masih membawa bayi dan kanak-kanak ke Perhimpunan Kesyukuran Penolakan Ratifikasi ICERD di Dataran Merdeka pada Sabtu.

Tinjauan Astro AWANI di beberapa lokasi seperti di Jalan Perak dan juga di pusat beli-belah Sogo, mereka yang di bawah umur itu dilihat dibawa ibu bapa atau penjaga mereka, baik didukung, dipimpin mahupun yang ditolak dalam kereta sorong.

Perbuatan itu jelas melanggar syarat perhimpunan mengikut Seksyen 4 (2)(f) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana membawa bayi dan kanak-kanak ketika berhimpun dalam acara seumpamanya.

Situasi tersebut dilihat sebagai suatu ulangan peristiwa, iaitu perkara yang sama pernah berlaku dalam beberapa siri perhimpunan di jalanan yang pernah dianjurkan di ibu negara sebelum ini, seperti perhimpunan Bersih, #KitaLawan dan Kumpulan Baju Merah.

BACA: 'Yang bawa kanak-kanak tu kenapa? Akal mana akal?' Netizen kesal tindakan peserta #Himpunan812

Bayi dan kanak-kanak masih dibawa ke perhimpunan seperti ini, dan ia jelas melanggar Akta Perhimpunan Aman. - Astro AWANI

Acara yang turut disebut sebagai Himpunan 812 ini dianjurkan sebagai tanda kesyukuran penolakan ratifikasi Konvensyen Antrabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang diumumkan kerajaan sebelum ini.

Sehubungan dengan penganjuran perhimpunan itu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meminta penganjur perhimpunan tersebut supaya memberikan kerjasama dan membantu polis serta pihak berkuasa.

"Penganjur perlu membantu pihak polis dan pihak berkuasa yang lain demi memastikan tidak berlaku kekacauan atau kerosakan ke atas harta benda awam.

"Jika boleh, jangan buang sampah di merata-rata dan jagalah kebersihan. Saya doakan agar perhimpunan itu berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan," katanya menerusi video yang dimuat naik di laman sosial beliau.

LAPOR LANGSUNG: Perkembangan Himpunan 812