'BISNES dan rasuah berjalan seiring'... Benarkah begitu?

Salah seorang ahli perniagaan yang tersohor dan juga salah seorang Ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) berpendapat kenyataan ini tidak benar, malah tidak dapat dipertahankan.

Di peringkat antarabangsa, adalah jelas antara negara-negara yang mempunyai reputasi terbaik kerana amalan rasuah pada tahap minimum. Sebagai contoh New Zealand dan Sweden merupakan negara-negara yang paling kurang rasuah dalam Indeks Persepsi Rasuah 2020 (CPI 2020) dan menjadi antara negara yang paling disenangi untuk menjalankan perniagaan.

Dalam persekitaran urus niaga negara-negara ini, bukan saja amalan ketelusan diutamakan, tahap kesedaran antirasuah ada pada tahap yang amat tinggi juga. Negara-negara ini mempunyai ekonomi yang maju, mantap dan didukung institusi berwibawa yang bebas.

Apabila wujud tanggapan 'bisnes dan rasuah berjalan seiring', maka ia adalah petanda dan salah satu ciri ekonomi dan amalan perniagaan dalam negara yang sedang membangun, di mana urus tadbir tidak sejajar dengan amalan baik.

Kebanyakan negara ini terdiri daripada kedudukan CPI yang rendah dan tercorot termasuk Malaysia. Natijahnya, tiada siapa mahu melancong, apatah lagi melabur jika indeks rasuahnya teruk, sekali gus menjejaskan ekonomi.
corruption, rasuah
Jenayah rasuah atau bisnes dan rasuah yang seiring boleh berlaku di mana-mana sahaja. Sama ada oleh orang dalam sesebuah agensi atau organisasi sendiri ataupun ekoran kerjasama atau pembabitan pihak luar.dan syarikat.

Apabila kerajaan memperkenalkan dasar penswastaan dan Malaysian Incorporated, penekanan diberikan kepada meningkatkan kerjasama sektor awam dan swasta untuk mempergiatkan lagi proses pembangunan negara.

Malangnya dasar ini disalahgunakan serta dieksploitasi, bersongkokol oleh kedua-dua belah pihak termasuk ahli politik dan pegawai kanan kerajaan (penerima) dengan ahli perniagaan (pemberi) yang tiada integriti kerana ghairah hendak kaya cepat.

Rasuah dibayar untuk mendapatkan keistimewaan dan kelebihan demi mendapat keuntungan lebihan. Mereka merosakkan dasar kerajaan dan menyebabkan lahir segelintir menjadi kaya raya melalui pendapatan yang tidak halal.

Della Porta and Vannucci dalam kajin rasuah di Itali berpendapat bahawa: “Corrupt exchanges between public officials and business managers are usually sustained through networks of politicians, business, mafia and middlemen. Corruption operates successfully because of a complex web of relationships between public officials (bribe-receivers), business cartels (bribe-givers), middlemen (act as consultants or agents) and organised crime (play a covert enforcement role) that ensure ‘flow of information’ (discretionary powers) in exchange for ‘money’ (bribes) with the underlying element of ‘trust".

Tambah beliau, ia berlaku sama di negara-negara lain.

Individu atau kelompok tertentu yang mempunyai pengaruh atau kekuasaan boleh berbuat sesuatu untuk mendapat keuntungan dan kepentingan peribadi. Ada yang berselindung dengan syarikat tertentu. Pemilik benefisiari ini iaitu pemilik sebenar syarikat atau harta hanya boleh diketahui apabila SPRM meminda Akta SPRM 2009 kelak.

Berdasarkan pada aduan rasuah, SPRM mendapati 63 peratus melibatkan pegawai sektor awam, sektor perolehan 43 peratus dan penguatkuasaan 24 peratus. Ini adalah kerana “public sector that has the power that is exchangeable with money".

SPRM mengenal pasti 16 bentuk penyelewengan yang kerap berlaku dalam sistem perolehan melibatkan pegawai-pegawai yang diberi amanah berkaitan urusan perolehan dan perbekalan.

SPRM
Ia termasuklah menerima komisen antara 5 hingga 10 peratus berdasarkan harga projek daripada syarikat-syarikat yang berjaya, membocorkan maklumat termasuk nilai kontrak kepada kontraktor tertentu, menciplak kertas cadangan dikemukakan oleh pihak tertentu dan kemudian memberi kepada syarikat lain, sengaja meminta syarikat-syarikat tertentu memasuki sebut harga dengan harga yang lebih tinggi, sengaja mencipta sebut harga dengan menggunakan kepala surat atau profil syarikat-syarikat tertentu sedangkan syarikat tersebut sendiri tidak tahu-menahu mengenainya, dan berpakat dengan syarikat pembekal untuk mendapatkan sebut harga lima syarikat yang lain sebagai syarat mematuhi peraturan.

Manakala bentuk-bentuk kesalahan kerap dilakukan oleh syarikat pembekal pula termasuklah menyogok pegawai untuk memenangi projek atau kontrak ditawarkan, peranan orang tengah yang mengumpulkan profil-profil syarikat lain untuk memasuki sebut harga, meraikan pegawai bagi tujuan melobi projek, membayar rasuah untuk mendapatkan surat sokongan orang kenamaan, membuat tuntutan penuh sedangkan perbekalan barangan tidak lengkap atau mencukupi, dan mengurangkan kualiti barangan yang dibekalkan.

Wujudnya hubung kait antara bisnes dan rasuah adalah disebabkan amalan rasuah perlu dilakukan untuk mengelakkan sebarang rintangan daripada pihak berkuasa:

  1. Mendapat sesuatu urusan dengan kadar segera
  2. Mendapat sesuatu melalui saluran pintas
  3. Mengelak sebarang tindakan penguatkuasaan.
Amalan rasuah juga merupakan satu amalan untuk mendapat keistimewaan kelulusan dan syarat lebih longgar; memperdaya kerajaan dari segi bayaran cukai dan hasil negara; melakukan aktiviti haram dan tanpa izin - umpama membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI).

Perlu ditekankan di sini bahawa pendirian kebanyakan golongan peniaga adalah tiada sebab seseorang peniaga rela mengeluarkan wang bayaran rasuah jika bukan kerana sudah terpaksa. Buat apa mereka hendak habiskan wang mereka sendiri. Tetapi kerana terpaksa, mereka kena bagi wang rasuah walaupun bisnes dibuat secara betul lurus dan mengikut prosedur bagi permohonan lesen, permit, kebenaran atau kelulusan.

Dalam negara-negara membangun, gejala tersebut amat berleluasa. Dalam dekad-dekad terkini juga terdapat juga negara-negara maju yang CPI 2020 merosot terjerumus ke arah keruntuhan moral, etika dan amalan rasuah melibatkan kecanggihan perancangan untuk mengelak kokongangan undang-undang untuk meminggirkan pematuhan sebagai satu langkah mencapai kelebihan.
rasuah
Akhirnya mengatasi rasuah dan mengikis amalan rasuah perlulah bermula dengan setiap individu secara spontan dan nilai murni yang menjadi pedoman hidup.

Justeru, pemimpin, ahli politik ketua-ketua jabatan perlu lebih bertanggungjawab, akauntabiliti dan peka terhadap perlakuan rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan. Mereka tidak harus melepas tangan dan tahu membezakan kuasa budi bicara sehingga berlakunya penyalahgunaan kuasa.

Setiap ketua jabatan perlu membentuk sistem pemantauan dan kelulusan berlapis. Ia bukan bertujuan untuk mewujudkan karenah birokrasi tetapi mengurangkan keputusan terhadap sesuatu pembelian berpusat kepada seseorang individu sahaja. Tetapi agar efektif, sebagai ketua, mereka hendaklah menjadi putih dari putih.

Pemeriksaan mengejut ke atas pelaksanaan projek wajar dilaksanakan bertepatan dengan konsep turun padang. Syarikat-syarikat pembekal atau kontraktor yang gagal memenuhi syarat kontrak atau sebut harga wajib disenarai hitam dan diambil tindakan undang-undang.

Meskipun pihak berkuasa telah memperbaiki sistem dan prosedur berbanding situasi satu atau dua dekad yang lalu, memandangkan isu rasuah dan ketirisan masih mendapat perhatian termasuk hasil Laporan Ketua Audit Negara, prosedur operasi standard (SOP) sistem pengurusan kewangan Kementerian Kewangan terutama dari segi kuasa budibicara (discretion power) perlu diteliti semula.

Ini termasuk sistem audit sendiri. Dalam hal ini kerjasama orang ramai juga penting memberi sokongan penuh bagi membolehkan SPRM bertindak dengan efektif dan bebas.

Jika setiap individu mempunyai kesedaran etika kerja, mengamalkan sikap integriti dan amanah dalam menjalankan tugas atau bisnes, maka rasuah dapat diatasi dengan baik.



* Penulis artikel ini ialah Datuk Seri Akhbar Satar, Presiden Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah Malaysia.