Skip to main content

Politik

Dialog PRN Johor: Apa keperluan? Orang Simpang Renggam masih tuntut janji Maszlee - Onn Hafiz

Onn Hafiz Ghazi. credit awani
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mempersoalkan keperluan mengadakan dialog bersama calon Pakatan Harapan (PH), Maszlee Malik, kerana menyifatkan mereka bukan bertanding di kerusi yang sama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. - Astro AWANI
Advertisement

BATU PAHAT: Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mempersoalkan keperluan mengadakan dialog bersama calon Pakatan Harapan (PH), Maszlee Malik, kerana menyifatkan mereka bukan bertanding di kerusi yang sama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menurut Onn Hafiz, sekiranya Maszlee mahu berdialog, beliau sepatutnya berbuat demikian dengan pihak yang bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa yang ditandinginya dan bukannya melibatkan beliau.

“Saya bukan berlawan dengan dia di Simpang Renggam. Dia lari dari Simpang Renggam kan?

“Jadi, kalau dia nak berdebat ataupun dialog, dia pergilah dengan orang di sana (Puteri Wangsa). Apa kena-mengena dengan kawasan saya ?” katanya ketika ditemui pada Program ‘Kasi On’ bersama Menteri Besar Johor di Semerah, di sini pada petang Isnin.

Beliau terdahulu mengulas mengenai cadangan dialog bersama Maszlee yang sebelum ini menyatakan kesediaan menerima pelawaan untuk berdebat menjelang PRN Johor.

Dalam pada itu, Onn Hafiz turut mendakwa rakyat di Simpang Renggam masih menuntut janji-janji yang dibuat Maszlee ketika menjadi wakil rakyat kawasan berkenaan.

Menurutnya, antara janji yang masih dipersoalkan penduduk ialah berkaitan pemberian tol percuma yang sehingga kini didakwa belum ditunaikan.

“Pada masa yang sama, orang Simpang Renggam masih menuntut janji dia. Dia janji nak bagi tol percuma, sampai sekarang tak tunaikan,” tambahnya.

Sebelum ini, RTM, Astro AWANI dan Sinar Harian mengemukakan jemputan rasmi kepada Onn Hafiz dan Maszlee bagi menyertai Dialog PRN Johor yang dijadual berlangsung pada 7 Julai, dari jam 9 malam hingga 10 malam di RTM Johor, Johor Bahru.

Menurut surat jemputan itu, dialog selama sejam berkenaan bertujuan memberikan ruang yang adil dan seimbang kepada kedua-dua tokoh untuk berkongsi visi, dasar, keutamaan serta penyelesaian terhadap isu-isu yang menjadi perhatian rakyat Johor.

Maszlee sebelum ini secara terbuka menerima pelawaan untuk berdebat dengan Onn Hafiz, sambil menyifatkan platform itu sebagai medan untuk mendidik rakyat dan mengangkat budaya politik yang lebih matang.

Pasukan Onn Hafiz bagaimanapun memaklumkan penyandang DUN Machap itu tidak dapat menghadiri dialog tersebut kerana mempunyai komitmen yang telah ditetapkan lebih awal. 
 

Must Watch Video

Advertisement