Skip to main content

Malaysia

JPJ perkukuh penguatkuasaan banteras kegiatan ‘ulat’ di KLIA

SEPANG, 6 Julai -- Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli bercakap pada sidang media Operasi Ulat (Ops Ulat) di Terminal 2 (KLIA2) hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli bercakap pada sidang media Operasi Ulat (Ops Ulat) di Terminal 2 (KLIA2) hari ini. - Foto BERNAMA
Advertisement

SEPANG: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memperkukuh penguatkuasaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 (T1) dan T2, dengan menambah bilangan anggota bagi melaksanakan rondaan serta pemantauan 24 jam dalam usaha membanteras kegiatan "ulat" teksi, serta kenderaan e-hailing dan persendirian.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata langkah itu akan dilaksanakan mulai minggu depan, susulan arahan daripada Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi memastikan kegiatan berkenaan dapat dibendung dengan lebih berkesan.

"Saya telah meminta Timbalan Pengarah JPJ Selangor (Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat) untuk menambah bilangan anggota (dari) JPJ Selangor untuk ditempatkan di KLIA.

"Minggu depan kita akan mengeluarkan arahan, beberapa anggota bertugas akan ditempatkan secara kekal di KLIA (T1 dan T2) untuk melaksanakan rondaan," katanya pada sidang media sempena Operasi Ulat (Ops Ulat) KLIA di sini hari ini.

Aedy Fadly berkata ketika ini hanya 17 anggota JPJ ditempatkan di KLIA T1, dengan penugasan secara syif bermula 7 pagi hingga 12 tengah malam, manakala tiada anggota ditempatkan secara khusus di KLIA2.

"Selepas ini, kita akan melaksanakan penugasan secara tiga syif selama 24 jam kerana kegiatan 'ulat' ini berlaku pada bila-bila masa, termasuk seawal 4 pagi apabila penerbangan mula tiba," katanya.

Beliau berkata JPJ juga akan menempatkan pegawai yang mempunyai gred lebih tinggi untuk mengetuai unit penguatkuasaan di kedua-dua terminal udara bagi memastikan operasi pemantauan dan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

"Kita juga menetapkan bahawa Ketua Unit JPJ KLIA perlulah gred lebih tinggi untuk jalankan tugas, sebab sebelum ini Ketua Unit gred rendah," katanya.

Beliau berkata usaha pengukuhan itu dibuat demi memastikan pintu masuk negara bebas daripada kegiatan individu menawarkan perkhidmatan pengangkutan penumpang secara haram yang memberi imej negatif kepada negara.

Aedy Fadly berkata JPJ turut bekerjasama dengan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk memperhebat hebahan kepada penumpang melalui paparan di terminal lapangan terbang supaya hanya menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah dan berlesen.

Beliau memberi jaminan bahawa JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan ulat itu dan akan terus memperhebat penguatkuasaan di KLIA T1 dan KLIA T2, bagi melindungi kepentingan pengguna serta imej negara.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement