Skip to main content

Malaysia

‘Ada rencana luar asing cemburu, mahu campur tangan urusan politik negara kita’ - PM

PUTRAJAYA, 9 Mac -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini.   --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat di negara ini untuk terus memperkukuh keharmonian agar keamanan yang dinikmati kekal terpelihara. - Gambar/ Bernama

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, pasukan pertahanan negara sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi sebarang ancaman luar.

Beliau berkata, ini kerana terdapat pihak asing yang cemburu dan berusaha mencampuri urusan politik negara.

Advertisement

“Jangan kita ambil sikap selesa atau apa yang disebut culture complacency atau contentment, sebab itu badan pertahanan kita sentiasa bersiap siaga.

“Baru ini saja muncul anak-anak sekolah, belasan tahun pun terlibat dalam persiapan kegiatan ke arah keganasan seperti yang diumumkan oleh Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail baru-baru ini.

“Anak-anak kita, masalah didikan, masalah pendedahan, kemudian rencana-rencana luar asing yang cemburu dan mahu campur tangan dalam urusan politik kenegaraan kita. Ini harus menyebabkan kita lebih waspada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program bersama warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), di sini, pada Isnin.

Sehubungan itu, Anwar menyeru rakyat di negara ini untuk terus memperkukuh keharmonian agar keamanan yang dinikmati kekal terpelihara.

Pada 6 Mac lalu, Mohd Khalid berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melumpuhkan cubaan menghidupkan semula ideologi kumpulan pengganas di negara ini dengan penahanan enam remaja, termasuk tiga yang masih di bawah umur menerusi operasi khas baru-baru ini.

Mohd Khalid memaklumkan, suspek berusia antara 16 hingga 21 tahun itu ditahan dalam operasi dilancarkan oleh Cawangan Khas selama dua hari bermula 14 Februari di Lembah Klang, Johor, Kedah dan Terengganu.

“Siasatan mendapati suspek bukan sahaja telah berbaiah kepada pemimpin kumpulan Daesh malah aktif memberi sokongan, merekrut ahli baharu dan memiliki bahan propaganda kumpulan pengganas itu.

“Lebih membimbangkan, mereka turut dikesan merancang serangan ke sasaran strategik termasuk balai polis, lokasi penting kerajaan dan fasiliti kepentingan awam dalam negara,” kata Mohd Khalid dalam sidang media di Bukit Aman.

Must Watch Video