Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mendedahkan terdapat beberapa sindiket besar daripada luar negeri Perak yang meneroka secara haram tanah di negeri itu.

Menurut beliau, sindiket itu bukan sahaja berani meneroka di kawasan sempadan dengan negeri lain seperti di Tanjung Malim, malah telah berani meneroka sehingga ke kawasan Sungai Tumbuh di Seri Iskandar.

Sambil menyatakan rasa dukacitakannya, Dr Zambry menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan bertolak ansur dengan sindiket seumpama itu yang menggunakan petani untuk melindungi kegiatan mereka.

Ujarnya, kerajaan negeri telah menubuhkan sebuah pasukan khas yang turut dianggotai oleh pihak polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pejabat tanah untuk mengatasi masalah pencerobohan haram di negeri itu.

"Ada yang beroperasi sampai 100 - 200 ekar, pergi membuat komplot bersama dengan kalangan tertentu di kawasan-kawasan tertentu dengan mencuri kayu balak.

"Lepas tu dah habis di tebang dan dibersihkan kawasan berkenaan, ditanam dengan samada kelapa sawit, mahupun sayur-sayuran dan sebagainya.

"Takkan kita nak biarkan kelompok-kelompok seperti ini, manakala rakyat yang susah yang sepatutnya mendapatkan hak-hak mereka dinafikan, tetapi mereka ang berselindung di sebalik atas nama petani-petani.

"Saya tidak akan membiarkan keadaan ini berlaku di negeri Perak," katanya pada sidang media selepas selesai persidangan Dewan Negeri di Ipoh pada Jumaat.

Sehubungan itu, Dr Zambry menyifatkan tuduhan pihak pembangkang kononnya kerajaan negeri langsung tidak membantu golongan petani di negeri ini adalah satu pembohongan besar.

Beliau memberitahu, sejak beberapa tahun lalu, kerajaan negeri telah membantu menyelesaikan 44,000 isu petani yang melibatkan puluhan ribu ekar.

Bagaimanapun, kata beliau, kerajaan negeri tidak boleh sewenang-wenangnya memberi pengiktirafan kepada peneroka haram kerana ia menunjukkan contoh amalan yang tidak baik pada sebuah kerajaan.

"Terdapat di sana rakyat yang semua mengikut peraturan dan undang-undang, mereka tidak dapat manakala rakyat yang meneroka secara haram, boleh dapat," ujarnya.

Dr Zambry berkata, kerajaan negeri sentiasa mengkaji kawasan tertentu yang boleh dibantu, khususnya mereka yang telah meneroka terlalu lama tetapi tidak dapat diselesaikan kerana masalah teknikal.