Polis tidak menolak kemungkinan unsur sabotaj atau 'foul play' susulan kebakaran sebuah pusat hiburan di Ipoh yang meragut enam nyawa pada Rabu lalu.

Bagaimanapun, Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, pihaknya akan menyiasat meliputi pelbagai sudut terutama selepas menerima laporan daripada pihak bomba.

"Kertas siasatan telah dibuka dan memfokuskan kepada kematian mengejut. Siasatan turut melibatkan sama ada sabotaj atau 'foul play'.

"Namun, perkara itu masih lagi dalam siasatan oleh pihak bomba. Buat masa ini, bomba masih lagi tidak memberi apa-apa motif kebakaran tersebut.

"Jadi saya tidak akan membuat apa-apa kenyataan sama ada sabotaj atau tidak, sehinggalah pihak bomba memberi motif atau punca kebakaran tersebut," katanya kepada Astro AWANI pada Jumaat.


Pada Rabu, tiga lelaki warga tempatan, dua wanita Vietnam dan seorang lelaki Bangladesh maut dalam kebakaran sebuah pusat hiburan di Times Square, Jalan Raja Dr Nazrin Shah, Ipoh kira-kira jam 5.30 pagi.

Siasatan pihak bomba mungkin mengambil masa lebih daripada seminggu untuk mengetahui punca kebakaran tersebut berlaku.