KUALA LUMPUR: Satu usul tergempar dikemukakan oleh ahli Parlimen pembangkang meminta agar Dewan Rakyat membahaskan mengenai permohonan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar.

Usul tersebut dikemukakan oleh Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) mengikut Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 18(1).

Jelas beliau, kerajaan perlu menyegerakan pengeluaran KWSP secara bersasar kerana keadaan terdesak termasuk peningkatan harga barangan dan kos sara hidup.

"Ada yang terpaksa menjual harta dan tinggal sehelai sepinggang, dan sudah menjadi tanggungjawab Ahli Parlimen untuk mengotakan janji untuk membantu rakyat.

"Oleh demikian, saya merasakan isu ini perlu disegerakan untuk dibincangkan kerana Kerajaan Perpaduan yang disebut boleh mengambil langkah yang sama seperti dilakukan sewaktu era pemerintahan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob iaitu membenarkan pengeluaran KWSP," katanya ketika membacakan usul berkenaan di Dewan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul menolak usul berkenaan dan mencadangkan agar Shahidan mengemukakan semula semasa pembentangan Belanjawan 2023.

Sementara itu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) ketika membahaskan usul Titah Diraja bersetuju dengan usul yang dibawa Shahidan, dan mencadangkan kerajaan mempertimbangkan semula pengeluaran KWSP secara bersasar.

"Walaupun minggu lepas Yang Berhormat Pontian (Datuk Seri Ahmad Maslan) mengatakan kerajaan tidak akan mempertimbangkan. Tetapi tolong, yang kita mohon adalah pengeluaran KWSP bersasar.

"Hari ini ada 13.1 juta atau lebih kurang 51 peratus rakyat Malaysia yang mempunyai simpanan di bawah RM10,000 dan mungkin baru bekerja.

"Bagaimana pula pencarum yang lama bekerja lebih 20 tahun dan mungkin simpanan mereka ada puluhan ribu atau ratusan ribu, tak akan ini tidak boleh dipertimbangkan kerana ini duit mereka," katanya.

Minggu lepas, Muhyiddin menggesa kerajaan agar mempertimbangkan pengeluaran wang KWSP  secara bersasar sekiranya itu kehendak rakyat.

Menurutnya, kerajaan sepatutnya memberikan tumpuan sepenuhnya kepada usaha-usaha untuk memajukan ekonomi negara dan memelihara kebajikan rakyat.

Begitu pun, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata kerajaan tidak lagi membenarkan pengeluaran KWSP itu memandangkan median simpanan 8.1 juta ahli KWSP membabitkan semua kaum direkod menurun 50 peratus iaitu daripada RM16,600 pada 2016 kepada RM8,100 tahun lalu.