Pakatan Harapan perlu menunjukkan bahawa mereka sudah bersiap sedia untuk membentuk kerajaan sekiranya pilihan raya umum (PRU) dipanggil dalam masa terdekat.

Bekas presiden Majlis Peguam, Datuk S Ambiga berkata hanya dengan itu rakyat akan lebih yakin terhadap pakatan pembangkang.

"Saya ada dua soalan buat Pakatan Harapan: adakah kamu sedia untuk PRU14 atau election-ready?

"Keduanya, adakah pembangkang sedia mengambil alih sebagai kerajaan?

"Mereka (Pakatan Harapan) perlu sudah bersedia untuk memilih calon-calon dan menamakan siapa yang bakal menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri serta barisan Kabinet. Apabila mereka boleh mengumumkan perkara ini, rakyat akan mempunyai lebih keyakinan terhadap pihak pembangkang," menurut Ambiga yang juga Presiden Persatuan Hak Asasi Manusia (Hakam) pada 'Forum Parti Baru = Harapan Baru?' di sini hari ini.

Tambahnya, Pakatan Harapan kini tiada pilihan kecuali merapatkan barisan dan menjadi pakatan pembangkang yang kukuh bagi menghadapi Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya terdekat.

"Saya pun tidak faham kenapa Pakatan Harapan ada masalah. Terdapat begitu ramai pemimpin yang bijak dalam pakatan tetapi mereka masih tidak boleh selesaikan masalah mereka.

"Sudah pasti ada pengorbanan yang perlu dilakukan, ada pihak yang mungkin perlu melepaskan kerusi mereka. Tidak apa lah kalau tidak ada kerusi, biarkan pakatan itu menang dahulu."

"Tetapi kami (rakyat) tidak boleh menerima alasan ini daripada pihak pembangkang. Mereka perlu selesaikan isu antara mereka dan pastikan mereka memberi saingan yang kuat pada PRU nanti. Saya harap tidak wujud pertandingan tiga penjuru kerana akan hanya ada satu pemenang iaitu BN. Kalau begitu, buang masa sahaja, lebih baik jangan bertanding," katanya.