Tan Sri Adenan Satem berkata beliau memerlukan tempoh sekurang-kurangnya sepenggal lagi untuk melaksanakan dasar dan program pembangunan yang dirancangkan di negeri ini, sejak mengambil alih tampuk kepimpinan Sarawak pada 28 Feb tahun lepas.

Adenan berkata dasar yang beliau perkenalkan sejak menjadi Ketua Menteri Sarawak adalah untuk menumpukan pembangunan di luar bandar dalam usaha mengurangkan jurang antara bandar dan luar bandar.

"Saya fikir bandar sudah cukup maju, semuanya sudah ada di bandar tetapi masih berkurangan di luar bandar dan itulah sebabnya kita memberi penekanan kepada pembangunan infrastruktur seperti pembinaan lebih banyak jalan raya, bekalan air dan elektrik selain peluang ekonomi di luar bandar," katanya.

Adenan berkata demikian ketika muncul dalam rancangan khas 'Bersama Ketua Menteri Sarawak' di sebuah stesen televisyen tempatan malam tadi.

Temubual selama sejam itu adalah sempena ulang tahun pertama Adenan sebagai Ketua Menteri Sarawak.

Adenan berkata tumpuan pembangunan di bandar selama ini serta kewujudan banyak peluang perniagaan dan ekonomi, telah menyumbang kepada penghijrahan beramai-ramai penduduk luar bandar ke bandar.

"Kita perlu mewujudkan sekurang-kurangnya warga luar bandar kelas pertengahan tetapi ini akan mengambil masa lebih lama," katanya, sambil menambah bahawa usaha itu berjaya dilaksanakan di beberapa negara seperti Australia dan New Zealand.

Mengenai penerimaan rakyat Sarawak terhadap corak kepimpinan beliau, Adenan secara berseloroh berkata: "Saya tidak mahu berpura-pura, apa yang anda lihat itulah yang rakyat dapat."

Ditanya bagaimana beliau berjaya memikat hati masyarakat Cina di Sarawak untuk menyokong pucuk pimpinan beliau, Adenan berkata kerajaan harus mengiktiraf sekolah swasta aliran bahasa Cina di negara ini.

Beliau berkata kerajaan persekutuan perlu mengiktiraf sijil daripada sekolah swasta aliran bahasa Cina kerana ia juga diiktiraf di luar negara.

Justeru, beliau berharap kerajaan pusat dapat menyalurkan bantuan kepada sekolah-sekolah berkenaan dan pada tahun lepas, kerajaan negeri telah menyerahkan sumbangan RM3 juta kepada sekolah tersebut di negeri ini, dan berjanji akan menambah peruntukan itu pada tahun ini.

Ditanya pandangan beliau terhadap parti pembangkang, Adenan berkata beliau tiada masalah dengan parti-parti pembangkang dan sentiasa bersedia untuk berunding dengan mereka mengenai apa jua isu yang timbul.

"Kita perlu ingat, mereka (pembangkang) juga warganegara Malaysia dan mereka sama-sama taat kepada negara, jadi tidak salah kita beri mereka peluang untuk bercakap dan mendengar pandangan mereka.

"Kita tidak boleh terus menerus bermusuh, itulah dasar saya dan jika pembangkang mahu berjumpa dengan saya, mereka boleh berbuat demikian pada bila-bila masa," katanya.

Mengenai permintaan masyarakat Dayak di negeri ini yang mahu perkataan 'lain-lain' dalam ruang kaum di borang rasmi kerajaan digantikan dengan perkataan 'Dayak', Ketua Menteri Sarawak itu berkata beliau telah meminta kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya ia digantikan dengan perkataan 'Bumiputera Iban, Bumiputera Bidayuh dan Bumiputera Orang Ulu'.

Adenan juga berpendapat bilangan rakyat Sarawak yang hendak memasuki maktab atau institusi perguruan ditambah dan mereka seharusnya dihantar mengajar di sekolah-sekolah di negeri ini apabila tamat pengajian.

"Guru-guru dari Sarawak patut mengajar di Sarawak kerana mereka lebih mengerti keadaan di Sarawak. Kalau tidak mencukupi, baru ambil guru dari Semenanjung Malaysia," katanya.