Skip to main content

Malaysia

SPRM syor guna mesin imbas AI di terminal kargo, perkukuh pengurusan barangan berbahaya

81613665818_MasKargo.jpg
Antara syor utama yang dikemukakan ialah penggunaan mesin pengimbas berteknologi tinggi berasaskan kecerdasan buatan oleh semua pengendali terminal kargo yang mengendalikan barangan berbahaya. - Gambar fail
Advertisement

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan beberapa syor penambahbaikan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) bagi memperkukuh pengurusan barangan berbahaya (DG), susulan siasatan tatakelola berhubung insiden di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Suruhanjaya itu memaklumkan antara syor utama yang dikemukakan ialah penggunaan mesin pengimbas berteknologi tinggi berasaskan kecerdasan buatan oleh semua pengendali terminal kargo yang mengendalikan barangan berbahaya.

"Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) SPRM turut mencadangkan agar Unit DG diperkasakan melalui penambahan pegawai serta penaiktarafan sistem sedia ada bagi meningkatkan keberkesanan pemantauan dan penguatkuasaan," menurut SPRM menerusi hantaran di Facebook. 

Persetujuan terhadap syor berkenaan dimeterai menerusi penandatanganan Laporan Penambahbaikan Tatakelola oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Kapten Mohd Radzi Mohamad Alias dan Pengarah BPT SPRM Datuk Mohd Zaki Hassan.

Laporan itu dibentangkan oleh Timbalan Pengarah II BPT SPRM Ahmad Shukri Mohamad Taib.

Menurut SPRM, CAAM menyambut baik syor yang dikemukakan dan komited melaksanakannya secara berperingkat.

"Kerjasama strategik ini mencerminkan komitmen berterusan SPRM dan CAAM dalam memperkukuh tadbir urus, meningkatkan pematuhan serta memastikan pengendalian barangan berbahaya dilaksanakan mengikut standard keselamatan penerbangan antarabangsa," menurut hantaran itu.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement