Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul, begitulah yang dirasakan Siti Asa Hassan yang menggalas tanggungjawab menjaga kakak dan dua abangnya yang istimewa selepas kedua ibu bapanya meninggal dunia kira-kira lapan tahun lalu akibat sakit tua.

Siti Asa, 47, berkata kakak sulungnya, Siti, 67, bukan sahaja orang kurang upaya (OKU) yang bermasalah mental tetapi turut mempunyai masalah jangkitan paru-paru dan memerlukan rawatan serta penjagaan rapi kerana tidak boleh berjalan dan tidak mampu menguruskan diri sendiri.

"Dia hanya duduk atau berbaring di atas tilam dan perlu memakai lampin pakai buang dan jika mandi, perlu diangkat ke bilik air," katanya.

Dua lagi abangnya, Abd Wahab, 59, dan Muhammad Saman, 53, juga OKU bermasalah mental namun Abd Wahab hanya berjalan sekitar kawasan rumah berbeza dengan Muhammad Saman yang sering merayau jauh dari rumah.

"Ini yang membimbangkan saya kerana Muhammad Saman pernah kemalangan beberapa tahun lalu akibat dilanggar lori dan dimasukkan ke hospital selama dua minggu kerana kecederaan di kepala," katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya, di Kampung Sungkup, Bukit Selambau, dekat sini, hari ini.

Siti Asa berkata sebelum ini bebannya dapat dikongsi bersama suaminya, Saipi Azhari namun selepas kematian suaminya kira-kira empat bulan lalu akibat sakit jantung, dia terpaksa menguruskan semua perkara sendiri dengan dibantu anak tunggalnya, Siti Nabayah, 21, yang tinggal bersamanya.

"Memang ada bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bahkan saya cuba berbelanja dengan berhemah, beli apa yang perlu. Nak harapkan bantuan adik beradik lain, mereka juga masing-masing mempunyai tanggungan dan bukanlah golongan berada.

"Namun ada kalanya, terasa bebannya memandangkan kami hanya memiliki sebuah motosikal dan untuk bergerak ke kawasan pekan terutamanya ke Klinik Kesihatan berhampiran terutama untuk pemeriksaan kakak sulung, kami perlu menyewa kereta dengan kos RM50," katanya.

Ditanya mengenai persiapan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi, Siti Asa berkata, saban tahun sambutan hanya ala kadar, cukup sekadar masing-masing memiliki sepasang baju baharu walaupun dibeli pada harga RM20 sepasang.

"Ada juga saya beli kuih raya agar adik beradik rasa gembira menyambut raya. Namun raya tahun ini berbeza sedikit kerana baru-baru ini ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan. Bukan sahaja membersihkan kawasan rumah, malah mereka turut mengecat, membuat pendawaian elektrik dan membelikan tikar getah serta langsir baharu untuk rumah kami," katanya.

Siti Asa berkata rumahnya itu dikunjungi Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Pulau Pinang, Prof Madya Dr Mohd Fozi Ali bersama-sama 87 pelatih dan 12 pegawai Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis) UiTM cawangan Pulau Pinang menerusi progam sukarelawan kemasyarakatan anjuran Suksis UiTM Cawangan Pulau Pinang.

Sekiranya ada pihak yang berhasrat menghulurkan bantuan bagi meringankan beban Siti Asa bolehlah berbuat demikian menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 02300-29-00057602-2.