SHAH ALAM: Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Adnan Mat mempertahankan jawatannya selepas menang besar dalam sesi pemilihan pada Konvensyen Kongres Tritahunan ke-29 bagi penggal 2022-2025.

Adnan memperoleh 1,108 undi menewaskan pencabarnya, bekas Timbalan Presiden II Cuepacs Zulkifli Mohamad yang hanya mendapat 331 undi dalam sesi tersebut di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini, hari ini.

Keputusan itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pengiraan Undi Abdul Rashid Abdullah, dengan lebih 1,700 perwakilan mengundi pada sesi pemilihan berkenaan.

Jawatan nombor dua kongres itu iaitu Timbalan Presiden I diisi oleh Aminuddin Awang apabila memperoleh 1,111 undi, manakala Timbalan Presiden II disandang Norhayati Abdul Rashid yang meraih 617 undi.

Sementara itu, Adnan berkata kerajaan diminta agar menyemak semula kenaikan gaji tahunan (KGT) anggota perkhidmatan awam rendah bagi menjamin kebajikan mereka di negara ini.

Katanya setakat ini mereka hanya menerima antara RM80 hingga RM320 yang merupakan kenaikan interim yang dipersetujui sejak 2012.

"Mengikut Jabatan Perangkaan kos sara hidup meningkat RM115 sebulan, jadi kenaikan RM80 itu sudah tidak munasabah dan kerajaan perlu membuat kenaikan baharu.

"Kongres telah cadangkan perlu kenaikan tangga gaji baharu kepada anggota perkhidmatan awam dengan minimum KGT sebanyak RM180 setahun kepada gred paling rendah," katanya.

Adnan juga berharap bajet mini yang akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lama lagi, mengekalkan pengumuman oleh kerajaan terdahulu atau membuat penambahbaikan khususnya untuk penjawat awam.

"Harapan kami sangat tinggi terhadap pengumuman yang telah dibuat kerajaan (Keluarga Malaysia) sebelum ini. Harapan kami jika tiada pengumuman baharu, kekalkan pengumuman lama.

"Jika ada pengumuman baharu dibuat (untuk penjawat awam), adakan penambahbaikkan dan tambahan buat bahagian tertentu dalam perkhidmatan awam," katanya.

-- BERNAMA